Kemudahan di Lebuhraya PLUS disediakan 24 jam sepanjang tempoh PKP - pelanggan perlu patuh SOP

Kemudahan di Lebuhraya PLUS disediakan 24 jam sepanjang tempoh PKP – pelanggan perlu patuh SOP

plus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyokong usaha kerajaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei 2021 hingga 7 Jun 2021 bagi melandaikan lekuk penularan wabak Covid-19.

“Ketika pelaksanaan PKP di seluruh negara ini, perjalanan rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan, kecuali atas urusan kecemasan, kerja, pendidikan, aktiviti ekonomi dengan kebenaran pihak polis termasuk urusan perubatan atau temujanji vaksinasi Covid-19.

“Bagi pelanggan lebuh raya yang dibenarkan untuk melakukan perjalanan dalam tempoh tersebut, kami akan memastikan tahap perkhidmatan di lebuh raya kami sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik, walaupun PKP dilaksanakan,” demikian menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.

Katanya, mereka telah mengambil langkah bagi memastikan aspek keselamatan yang tinggi sebagai komitmen kami untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan selesa.

Di samping itu, katanya, PLUS juga menggalakkan pelanggan lebuh raya untuk memuat turun Aplikasi PLUS secara percuma untuk merancang perjalanan dengan lebih mudah.

“Pelanggan juga dapat berinteraksi dengan PLUS Unique Texting Realtime Interface iaitu chatbot kecerdasan buatan (A.I) pertama lebuh raya yang lebih dikenali sebagai ‘PUTRI’ yang menyediakan maklumat trafik terkini di lebuh raya PLUS,” tambah Zakaria.

Selain itu, lebih daripada 250 pasukan PLUSRonda telah ditugaskan untuk membuat rondaan 24 jam di lebuh raya. Sekiranya berlaku sebarang insiden atau kecemasan di lebuh raya, pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000.

“Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri akan datang, PLUS akan menghentikan sementara semua kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf di sepanjang lebuh raya bermula 11 Mei sehingga 17 Mei 2021, kecuali melibatkan kerja-kerja pembaikan kecemasan yang kritikal,” jelas Zakaria.

Pada setiap kali musim perayaan, PLUS bekerjasama rapat dengan rakan penguatkuasa seperti pihak Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi meningkatkan tahap keselamatan pelanggan di lebuh raya. PLUS juga telah menempatkan kren serta trak tunda yang bersiap sedia (on standby) di lokasi strategik di sepanjang lebuh raya untuk bantuan kecemasan dan kerja-kerja mengalihkan kenderaan terkandas dengan lebih pantas sepanjang tempoh perayaan ini.

Kemudahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) PLUS dibuka 24 jam sepanjang musim perayaan ini.

Bermula 13 Mei hingga 7 Jun, gerai makanan dan minuman, kedai serbaneka dan gerai perniagaan selain daripada makanan dan minuman di R&R beroperasi pada pukul 6 pagi sehingga 10 malam setiap hari (tertakluk kepada arahan Pihak Berkuasa Tempatan). Walau bagaimanapun, hanya perkhidmatan pembelian makanan dan minuman secara bungkusan sahaja dibenarkan dalam tempoh tersebut.

“Untuk keselesaan pelanggan, kini PLUS menawarkan khidmat beli dan bawa pulang makanan tanpa sentuh (contactless) dengan lebih mudah. Pelanggan hanya perlu membuat Pra-Pesanan melalui Aplikasi PLUS untuk menikmati pelbagai juadah makanan yang lazat daripada rakan niaga dan pengendali gerai di 21 R&R terpilih. Pra-Pesanan ini boleh dibuat melalui Aplikasi PLUS atau melalui pautan https://orderdisini.plus.com.my/,” kata beliau.

PLUS mengingatkan orang ramai untuk terus patuh kepada Prosidur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memakai pelitup muka, mendaftar menerusi Aplikasi MySejahtera, mengambil suhu badan serta mengamalkan penjarakan fizikal satu meter apabila beratur untuk pembelian makanan atau ketika menggunakan kemudahan awam di R&R dan di Lebuhraya PLUS.

Sementara itu, semua kemudahan awam seperti surau dan tandas di R&R dan hentian sebelah dibuka 24 jam setiap hari. Aspek kebersihan di R&R sentiasa diberi keutamaan dengan menjalankan rutin pembersihan ketat secara berjadual termasuk kerja-kerja sanitasi untuk keselesaan kepada pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya