TEHERAN: Ketua perunding Iran memberi amaran pada Ahad bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak boleh dipercayai dan menyatakan Teheran tidak akan bersetuju dengan sebarang perjanjian bersama Washington melainkan hak-hak Iran dijamin sepenuhnya.
Kenyataan oleh Mohammad Bagher Ghalibaf itu dibuat ketika laporan muncul bahawa Presiden AS, Donald Trump telah menghantar semula cadangan damai yang lebih ketat kepada Iran, sehingga mendedahkan jurang perbezaan yang masih perlu dirapatkan oleh kedua-dua pihak.
Sebarang pindaan kepada draf perjanjian itu boleh terus melambatkan persetujuan rasmi untuk menamatkan perang di Asia Barat dan membuka semula Selat Hormuz selepas beberapa minggu rundingan yang tegang, dicirikan oleh retorik keras dan sekali-sekala tercetusnya keganasan.
Iran sudah pun berunding dengan AS mengenai masa depan program nuklearnya pada Februari apabila Amerika dan Israel melancarkan serangan udara serta peluru berpandu yang memusnahkan sebahagian besar kepimpinan kanan republik Islam itu.
Walaupun Teheran sejak sekian lama menyatakan program nuklearnya bertujuan semata-mata untuk kegunaan awam, AS dan sekutu-sekutu Baratnya mengesyaki Iran berusaha membangunkan senjata nuklear.
Akhbar The New York Times dan Axios melaporkan pada Sabtu bahawa Trump telah menghantar rangka kerja baharu yang ‘lebih tegas’ untuk dipertimbangkan oleh Iran, namun butiran lanjut masih belum jelas.
Trump berkata, keutamaannya termasuk menghalang Iran daripada membangunkan sebarang senjata nuklear dan membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz, yang telah disekat oleh Iran sejak perang bermula.
“Satu-satunya jaminan yang saya perlukan ialah tiada senjata nuklear. Mereka telah bersetuju dengan perkara itu dan ia sangat menarik,” katanya kepada menantunya, Lara Trump dalam temu bual di rancangan Fox News miliknya.
Bagaimanapun, Teheran sebelum ini mempertikaikan dakwaan Trump dan kedua-dua pihak masih jauh berbeza pendapat mengenai isu-isu utama.
Perang Iran bermula apabila AS dan Israel menyerang Teheran pada 28 Februari sebelum gencatan senjata diumumkan oleh Trump pada 7 April dan berlanjutan tanpa had. – AFP/AGENSI










