KOTA BHARU: Kegembiraan lapan pelancong pulang ke Johor selepas bercuti di negeri ini ‘terbantut’ apabila van yang mereka naiki ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Op Khas Hari Raya Aidiadha (HRAA) 2026 di Jalan Kuala Krai di sini, malam tadi.
Pengarah JPJ negeri, Mohd. Misuari Abdullah berkata, van yang didaftarkan sebagai kenderaan persendirian itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati ia digunakan untuk membawa pelancong dengan mengambil upah.
Katanya, pemandu berusia lingkungan 30-an itu juga hanya memiliki lesen percubaan (P) dan tidak mempunyai permit sah untuk menjalankan perkhidmatan membawa pelancong.
“Siasatan awal mendapati van persendirian itu digunakan untuk membawa pelancong tempatan dari Johor ke Kelantan sejak beberapa hari lalu.
“Ketika ditahan, mereka sedang dalam perjalanan pulang ke Johor. Susulan kesalahan yang dikesan, van tersebut ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar sempena Op Khas HRAA 2026 di hadapan Akademi JPJ Wilayah Timur di sini.
Sementara itu, beliau berkata, sebuah BMW 320i yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dari Tanah Merah bersama tiga rakannya turut ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati cukai jalan yang dipamerkan pada cermin hadapan kenderaan itu adalah palsu.
“Semakan mendapati cukai jalan yang ditampal tertera tarikh tamat pada 19 Ogos 2026, sedangkan rekod sebenar menunjukkan cukai jalan kenderaan itu telah tamat tempoh sejak 12 Julai 2025.
“Pemandunya juga tidak mempunyai lesen memandu. Selain itu, kenderaan tersebut mempunyai lebih lima kesalahan terdahulu dan siasatan lanjut sedang dijalankan kerana kereta itu didakwa dibeli secara dalam talian,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, sebanyak 4,694 kenderaan diperiksa sepanjang Op HRAA 2026 yang bermula pada 24 Mei lalu hingga semalam. – UTUSAN










