Industri perikanan laut dalam lumpuh - Utusan Malaysia

Industri perikanan laut dalam lumpuh

BOT-bot nelayan perikanan laut dalam tersadai selepas hampir 15 bulan tidak dapat ke laut berikutan ketiadaan pekerja di Kuala Perlis beberapa bulan lalu. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 90 peratus daripada 2,500 bot perikanan laut dalam ‘tersadai’ tidak dapat ke laut menangkap ikan sejak setahun lalu ekoran ketiadaan pekerja dari Thailand berikutan pintu sempadan negara ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dilema yang ditanggung le­bih 1,000 pengusaha di nege­ri-­negeri utara Semenanjung dan Kelantan itu menyebabkan mereka menanggung kerugian lebih RM1 bilion kerana terpaksa menyelenggara bot-bot yang tersadai di pelabuhan dan jeti sepanjang tempoh berkenaan.

Di PERLIS, industri perikanan di Kuala Perlis semakin ‘nazak’ apabila pengusaha terpaksa menanggung kerugian hampir RM23 juta berikutan lebih 70 daripada keseluruhan 150 pengusaha bot tidak dapat turun ke laut sejak 15 bulan lalu.

Ini ekoran kegagalan ratusan pekerja warga Thailand kembali semula ke negara ini berikutan penutupan pintu sempadan.

Lebih malang, ramai dalam kalangan pengusaha terpaksa menjual bot apabila sudah tidak mampu lagi menanggung kerugian khususnya dari segi kos penjagaan.

Mereka terpaksa mengeluarkan modal sendiri dan dalam masa sama pengusaha tersebut tidak mempunyai pendapatan selepas sekian lama tidak dapat turun ke laut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Perniagaan Ikan dan Pengusaha Bot Kuala Perlis, Liew Seak Tong berkata, setiap bulan dianggarkan pendapatan seorang pengusaha bot adalah RM10,000 hingga RM15,000 dengan kemampuan memperoleh RM150,000 dalam tempoh 15 bulan.

Katanya, apabila tidak dapat turun ke laut, para pengusaha tersebut hilang pendapatan kira-kira RM1.5 juta sebulan dan dalam tempoh 15 bulan kerugian boleh mencecah sehingga RM23 juta.

Jelasnya, dari segi penjagaan dan baik pulih bot, para pengusaha dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM5,000 sebulan atau RM750,000 dalam tempoh 15 bulan.

“Masalah ketiadaan pekerja cukup menghantui para pengusaha di sini apabila hanya sekitar 20 atau 30 peratus sahaja bot yang keluar ke laut ketika ini.

“Jika sebelum ini, para pengusaha boleh menghasilkan le­bih 60 hingga 70 tan metrik ikan sehari namun kini, hanya 10 tan sahaja,” katanya.

Di KEDAH, Seramai 400 pengusaha bot laut dalam mendakwa terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM300 juta apabila tidak dapat turun ke laut.

Pegawai Khas Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah, S. Sivakumar berkata, jumlah kerugian besar itu terpaksa ditanggung apabila bot mereka tersadai selepas tidak dapat keluar menangkap hasil laut kerana masalah kekurangan tekong dan awak-awak rakyat asing.

Menurutnya, keadaan tersebut dijangka berlarutan dan boleh melumpuhkan industri laut dalam.

Katanya, industri perikanan laut dalam di negeri ini sahaja memerlukan kira-kira 2,000 pekerja asing tersebut,” katanya.

Di PERAK, nelayan laut dalam di sini berisiko gulung tikar setelah tidak dapat turun ke laut sejak lebih setahun di­sebabkan larangan kemasukan pekerja asing.

Kerana tiada pekerja, bot mereka terus tersadai tidak bergerak sejak lebih setahun lalu, menyebabkan mereka tiada pendapatan.

Akibatnya, mereka kini berdepan dengan pelbagai masalah terutama untuk membayar balik hutang pinjaman bot dengan pihak bank.

Selain itu, bot mereka yang lama tersadai akan menyebabkan enjin rosak selain kos penyelenggaraan yang semakin tinggi.

Seorang pemilik bot laut dalam di Bagan Panchor, Tneh Zi Seng, 27, berkata, keadaan mereka semakin terdesak kerana larangan tersebut.

“Kami berdepan risiko gulung tikar jika pekerja perikanan warga asing terus tidak diberi kelonggaran untuk memasuk dan bekerja dalam sektor perikanan laut dalam,” katanya.

Di KELANTAN, kira-kira 400 pengusaha bot laut dalam di Pasir Puteh dan Bachok berharap kerajaan mencari penyelesaian terhadap kerugian yang mencecah RM300 juta akibat ketiadaan nelayan warga asing.

Mereka mendakwa rayuan dan memorandum berkaitan yang dihantar kepada pihak kerajaan bagaikan ‘surat la­yang’ yang tidak berharga kerana tiada sebarang maklum balas di­terima.

Wakil pengusaha bot laut dalam Tok Bali, Ismail Zakaria, 59, berkata, daripada 115 bot laut dalam di kawasan itu, hanya tinggal 25 bot masih beroperasi.

Menurutnya, apabila Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikuatkuasakan ia jadi lebih merumitkan ditambah pula kekangan pandemik Covid-19 yang mengehadkan kemasukan warga asing ke negara ini.

“Masalahnya sekarang ada kira-kira 700 nelayan asing yang terkandas gagal pulang ke negara asal tetapi terpaksa ditanggung makan minum mereka setiap hari di sekitar Tok Bali dan Bachok,” katanya.

Di PULAU PINANG, Pengerusi Persatuan Nelayan Teluk Bahang, Johari Mohamad memberitahu, tempoh PKP sepatutnya memberi kelebihan dan keuntungan kepada para nelayan pantai apabila hasil tangkapan laut mereka bertambah berbanding sebelum ini.

Ini kerana jelasnya, ancaman bot pukat tunda terutama daripada bot nelayan asing kini berkurangan hampir 50 peratus ekoran pelaksanaan PKP sejak awal tahun ini.

Namun jelasnya, kegembiraan nelayan yang berjaya membawa naik lebih banyak hasil laut tidak berpanjangan apabila orang tengah menawarkan harga terlalu rendah untuk memborong tangkapan mereka.

“Alasan yang diberikan mereka juga adalah disebabkan PKP, maka permintaan hasil laut da­ripada pengguna berkurangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN