BNM kekalkan OPR pada 1.75% - Utusan Malaysia

BNM kekalkan OPR pada 1.75%

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada kadar 1.75 peratus.

BNM dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) melihat aktiviti ekonomi Malaysia terus bertambah baik pada suku pertama hingga April.

“Walaupun sekatan perjalanan yang dilaksanakan semula di lokasi yang terpilih akan menjejaskan kegiatan ekonomi dalam jangka pendek, tetapi kesannya dijangka tidak akan terlalu teruk memandangkan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

“Trajektori pertumbuhan dijangka akan bertambah baik, didorong oleh permintaan global yang lebih kukuh dan peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta susulan sokongan langkah-langkah dasar yang berterusan,” katanya.

Sementara itu, BNM itu menekankan bahawa prospek pertumbuhan ekonomi terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah.

Katanya, hal itu berpunca daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai perkembangan yang berkaitan dengan pandemik serta cabaran yang mungkin dihadapi sehingga menjejaskan pemberian vaksin pada peringkat global dan domestik.

Perkembangan itu selari dengan jangkaan MIDF Research yang melihat BNM tidak akan membuat perubahan pada OPR memandangkan kadar semasa kekal akomodatif untuk menyokong pemulihan ekonomi Malaysia.

Ujarnya, buat masa ini mereka tidak meramalkan keperluan pelonggaran dalam dasar monetari tetapi BNM mempunyai ruang untuk memotong OPR jika keadaan ekonomi merosot dengan ketara.

“Dengan keadaan ekonomi yang terus pulih berdasarkan penanda aras ekonomi baru-baru ini, kami menjangkakan OPR akan kekal pada tahap itu sehingga akhir tahun,” jelasnya.

MMIDF Research turut mengunjurkan purata inflasi keseluruhan pada tahun ini lebih tinggi antara 2.5 hingga 4.0 peratus disebabkan oleh faktor tolakan kos berikutan harga minyak dunia yang meningkat.

Tambahnya, dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021 disebabkan oleh asas yang lebih rendah daripada harga bahan api dalam negeri yang rendah pada suku yang sama tahun lalu.

Namun keadaan itu dijangka hanya buat sementara kerana inflasi keseluruhan diunjurkan menjadi sederhana apabila kesan asas itu hilang.

Institut penyelidikan itu juga berpendapat, kelebihan kapasiti dalam ekonomi akan terus memberi tekanan harga berikutan ramalan BNM tentang inflasi asas yang diukur oleh inflasi teras berpurata antara 0.5 hingga 1.5 peratus untuk tahun ini.

Bagaimanapun, BNM menjelaskan prospek itu bergantung kepada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya