Akar umbi PKR tolak kerjasama dengan Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

Akar umbi PKR tolak kerjasama dengan Dr. Mahathir

ISMAIL Ahmad (duduk, dua kanan) dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Rasah 2020 di Labu, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ahli akar umbi PKR memutuskan untuk menolak sebarang kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan, Datuk Ismail Ahmad berkata, keputusan tersebut diambil oleh ahli-ahli di peringkat akar umbi menerusi usul yang dibawa dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2020 cabang masing-masing.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Rasah menambah, usul itu juga dibawa oleh ahli PKR cabang tersebut yang bermesyuarat hari ini.

“Usul kami sebulat suara iaitu menolak kerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad dan parti yang bersekongkol dengannya. Kami sudah beri dia cukup ruang, peluang dan kesempatan tapi kami tidak boleh lagi percaya, bak kata orang jangan jatuh lubang yang sama dua kali, cukuplah itu sebagai satu pengajaran.

“Saya ingat, boleh dikatakan majoriti cabang juga membuat usul yang sama, bukan di Negeri Sembilan sahaja tapi di seluruh negara. Cukupkah sekali kita beri ruang, yang meruntuhkan Pakatan Harapan (PH) bukannya orang luar tapi orang dari dalam yang kita berikan kepercayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Rasah 2020 di Labu, di sini hari ini.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu berkata, hasil maklum balas ahli di peringkat akar umbi juga tiada masalah jika ada kerjasama di antara PKR dan UMNO sekiranya itu boleh membawa keadaan yang lebih baik kepada negara.

“Dalam politik ini tiada benda yang tidak boleh berlaku, tiada yang mustahil untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang memikirkan kepentingan dan juga kebajikan rakyat seluruh negara.

“Saya di peringkat pimpinan negeri juga saya rasa tiada yang mustahil sekiranya itu boleh memberikan kesan positif kepada kemajuan negara, tiada masalah. Kami tiada masalah, ahli juga tiada masalah yang penting ekonomi kita menjadi lebih baik, kerja-kerja boleh diwujudkan dan pelabur masuk. 

“Kemungkinan itu boleh sebelum pilihan raya atau selepas pilihan raya, itu pandangan saya. Kalau boleh selesai sebelum pilihan raya, kerajaan pada hari ini dapat kita betulkan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya