fbpx

10 Mei 2021, 6:08 am

  TERKINI

23 agensi pelancongan tutup operasi

NOORMALAWATI Kassim menunjukkan salah sebuah bot yang digunakan untuk lawatan pulau-pulau di Langkawi baru-baru ini, namun kini tersadai berikutan ketiadaan pelancong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebanyak 23 agensi pelancongan di sini menutup operasi dengan tidak memperbaharui lesen pengendali pelancongan mereka susulan industri tersebut semakin suram berikutan pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, tindakan kerajaan menguatkuasakan larangan rentas ne­geri sejak Januari lalu lalu turut meng­akibatkan kehadiran pelancong merosot dan agensi pelancongan terbabit mengalami kerugian.

Malah, katanya, industri pe­lancongan di pulau peranginan ini lebih tenat selepas pelaksa­naan PKP di lima daerah di ne­geri ini yang berkuasa sejak 1 Mei lalu.

ZAINUDIN KADIR

“Sepanjang tempoh larangan rentas negeri berkuat kuasa, sebahagian besar pelancong di pulau ini merupakan penduduk di negeri ini sahaja.

“Namun, jumlah pelancong terus merosot selepas lima da­erah di negeri ini pula dikenakan perintah PKP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lima daerah terlibat dengan PKP itu ialah Alor Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Zainudin memberitahu, setakat ini, sebanyak 113 agensi pelancongan yang masih kekal bertahan walaupun dalam ke­adaan tenat.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau percaya lebih banyak agensi pelancongan itu akan menutup operasi sekiranya PKP dilanjutkan selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Keadaan lebih parah sekiranya agensi terbabit tidak mendapat sebarang bantuan kewa­ngan pada sepanjang tempoh pandemik ini.

“Malah kesemua agensi yang telah ditutup itu didapati tidak mendapat bantuan geran bantuan khas kepada agensi pelancongan berjumlah RM3,000 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa),” katanya.

Sementara itu, Pengurus Ilham Langkawi Holidays Sdn. Bhd., Noormalawati Kassim berkata, dia terpaksa menceburi industri perikanan bagi menampung kos operasi syarikat termasuk membayar sewa pejabat dan gaji pekerja.

“Saya tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan kehadiran pelancong selepas pelaksanaan PKP sejak setahun lalu.

“Sehubungan itu, saya terpaksa melibatkan diri dalam industri perikanan untuk meraih pendapatan,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN