MERSING: Sebanyak 191 buah Pusat Komuniti Desa (PKD) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diaktifkan sebagai pusat daftar vaksin luar bandar bermula 20 Mei ini.
Menterinya, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad berkata, pusat berkenaan diwujudkan agar rakyat lebih mengetahui mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Katanya, KPLB mengambil inisiatif itu bagi memastikan mereka yang sepatutnya mendaftar dan mendapatkan vaksin mengikut jenis-jenis vaksin berjalan dengan mudah.
“Ini sebahagian daripada usaha pendemokrasian, aksesibiliti atau kemudahbolehan vaksin Covid-19 dapat dirasakan masyarakat luar bandar.
“Terdapat kira-kira 7.6 juta orang penduduk luar bandar bersamaan 23 peratus daripada penduduk negara. Justeru penglibatan masyarakat luar bandar dalam kemasukan PICK ini dapat berjalan dengan lancar melalui usaha ini seiiring tagline PICK iaitu lindungi kita lindungi semua,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Program Vaksinasi Covid-19 Daerah Mersing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Intan Mersing, di sini hari ini.
Abdul Latif berkata, bagi melancarkan urusan pendaftaran PICK tersebut, pengurus-pengurus PKD juga akan menjadi barisan hadapan bagi KPLB.
Katanya, mereka akan membantu dalam urusan pendaftaran secara dalam talian serta berdasarkan prosedur standard operasi (SOP) yang digunakan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).










