11 lelaki termasuk warga Bangladesh didakwa seleweng minyak masak bersubsidi - Utusan Malaysia

11 lelaki termasuk warga Bangladesh didakwa seleweng minyak masak bersubsidi

11 lelaki terdiri tiga warga tempatan dan lapan warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan melakukan penyelewengan minyak masak bersubsidi. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: 11 lelaki termasuk tiga warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan penyelewengan minyak masak bersubsidi di Pasir Gudang, kelmarin.

Kesemua tertuduh mengangguk tanda faham, namun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Tiga tertuduh warga tempatan ialah A. Halim Main, 42; R. Kalisamy, 50; dan B. Saravanan, 28.

Manakala lapan tertuduh lain yang merupakan warga Bangladesh ialah Omar Ali, 34; Rokey, 34; S. M. Mahasin, 34; Muhammad Mansur Alam Sultan Ahmad, 34; Mohamad Saiful Islam Faridul Alam, 23; Kubirahmat Abdul Salam; Md. Atiqur Haja Mahuiddin dan Haque Haju.

Dalam pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama-sama mempunyai syak yang munasabah berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak masak sebanyak 18,849 kilogram (kg) tanpa lesen dibawah Perenggan 4(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1947.

Sementara itu, dalam pertuduhan kedua, kesemua mereka didakwa secara bersama-sama mempunyai syak yang munasabah berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak masak sebanyak 4,500 liter tanpa lesen dibawah peraturan sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah premis beralamat No. 6B, Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, pada pukul 2 pagi, Selasa lalu.

Atas kesalahan itu, kesemua mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2015) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Mahkamah kemudian menetapkan tiga tertuduh warga tempatan masing-masing diberikan jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin, manakala lapan tertuduh warga asing tidak dibenarkan jamin.

Ahmad Fuad turut menetapkan tarikh 6 Julai depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya T. Ashvinii dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Raja Nor Ikhlas Raja Ariff.

Selasa lalu, Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil mendedahkan satu sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang mengaut keuntungan sehingga RM15 juta dalam tempoh hanya enam bulan beroperasi.

Sindiket itu menyeleweng antara 500,000 hingga 1 juta pek minyak masak satu kg sebulan, membabitkan nilai sehingga RM2.5 juta sebulan dengan cara mengeluarkan minyak masak daripada pek sebelum dipindahkan ke tangki untuk dieksport ke luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN