Tanah rizab Melayu, Putra kumpul tanda tangan - Utusan Malaysia

Tanah rizab Melayu, Putra kumpul tanda tangan

HAMIDAH OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak menganjurkan satu kongres berhubung isu tanah rizab Melayu di Perak yang didakwa diseleweng dan dipindah milik kepada bukan Melayu.

Pengerusi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, kongres itu berlangsung di Hotel Tower Regency, Ipoh bermula pukul 8 pagi, bertujuan mengumpul tandatangan bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan serius terhadap penyelewengan tanah rizab Melayu.

Menurut beliau, deklarasi dan resolusi kongres akan diserah kepada kerajaan serta pihak Majlis Raja-Raja, demi memastikan isu membabitkan kepentingan orang Melayu tidak disorok oleh pihak tertentu.

“Melalui kongres ini, satu tindakan mengumpul tandatangan untuk mendesak kerajaan mengambil tindakan serius ke atas Tanah Rezab Melayu yang terlepas kepada bangsa lain selain orang Melayu. Sebagai contoh kes tanah rizab Melayu di Manjung yang telah dibangkitkan oleh Putra Perak.

“Deklarasi tuntutan hasil kongres ini akan dipanjangkan kepada Pejabat Menteri Besar Perak dan juga kepada Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dan Majlis Raja-Raja. Kita mengambil serius perkara ini kerana sudah 63 tahun kita merdeka, malangnya hak Melayu kian terhakis,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Kata beliau, pihaknya berharap semua pihak menyertai kongres tersebut serta bersama-sama dalam agenda mengembalikan hak Melayu yang hilang akibat penyelewengan.

Dalam perkembangan lain, Hamidah berkata, pihak berkuasa telah menjalankan siasatan terperinci terhadap individu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan 641 hektar tanah rizab di Manjung.

“Kami difahamkan, siasatan masih berjalan, yang mana pihak berkuasa masih memanggil saksi bagi mendapatkan keterangan. Kami ingin mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas pihak berkuasa memastikan dalang kes ini dapat diheret ke muka pengadilan.

“Harapan kami, kes membabitkan kepentingan dan hak orang Melayu ini dapat diselesaikan segera, dan tanah itu dapat dikembalikan haknya kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi berkata, siasatan berhubung kes itu sedang dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN