Rizab Melayu: MHO bantah PTG Perak arah syarikat ganti tanah lain - Utusan Malaysia

Rizab Melayu: MHO bantah PTG Perak arah syarikat ganti tanah lain

HISHAMUDDIN Hashim (kiri) menyerahkan memorandum bantahan berkaitan arahan menukar status tanah kepada rizab Melayu kepada Nur Azlina Othman di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak mengarahkan syarikat bukan Melayu yang memiliki tanah berstatus rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan untuk menukar status tanah lain miliknya kepada rizab Melayu sebagai tidak bertepatan dengan undang-undang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan itu bukan sahaja bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu 1933 malah tidak selari dengan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen 19 Enakmen Tanah Rizab Melayu 1933 menyebut, sebarang urusan bertentangan dengan enakmen sama ada bagi tujuan urus niaga atau pelupusan adalah terbatal sekiranya dipindah kepada bukan Melayu.

“Malah, di bawah Enakmen Rizab Melayu 1933, tanah rizab Melayu yang wujud pada tahun 1933 tidak boleh dipinda atau dimansuhkan melainkan melalui perbahasan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum tidak bersetuju dengan arahan PTG Perak itu kepada Timbalan Pengarah PTG Perak, Nur Azlina Othman di sini hari ini.

Menurut Hishamuddin, langkah awal PTG Perak mengenakan sekatan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar bagi kesemua tanah yang terlibat untuk menghalang sebarang transaksi atau pindah milik juga tidak menyelesaikan masalah.

Malah katanya, tindakan itu memberi kesan kepada pemilik tanah atau pemegang tanah bukan Melayu apabila terpaksa menanggung kerugian ekoran membeli tanah yang mengandungi sekatan.

“Penyelesaian yang diambil PTG Perak ini kurang memuaskan dan kami tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat. Saranan PTG Perak meminta syarikat menggantikan dengan tanah lain, adakah ia mengikut peruntukan undang-undang?

“Sebab itu, kita minta PTG Perak menggunakan undang-undang sedia ada yang memperuntukkan tanah rizab Melayu boleh dikembalikan dan pemilikan tanah diperbetulkan semula di bawah Seksyen 380, Seksyen 419 dan Seksyen 417 Kanun Tanah Negara 1965.

“Berdasarkan undang-undang sedia ada, tidak mustahil tanah-tanah rizab Melayu yang telah dipindah milik secara salah dan berlaku kesilapan, dikembalikan kepada status asal (quo) dan pendaftar pejabat tanah mempunyai kuasa mutlak bagi melakukan pembetulan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan menghantar memorandum tersebut kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Saya ingin jelaskan bahawa sekiranya ada pertikaian, maka Seksyen 20 Enakmen Rizab Melayu mengatakan dengan jelas ia mesti dirujuk kepada ‘ruler’ iaitu raja.

“Jadi hari ini, kita maklumkan kepada PTG bahawa isu ini akan disembah maklum kepada Tuanku Sultan kerana apa yang dilakukan tidak selaras dengan enakmen sedia ada di mana kita berpandangan, rujukan pihak berkuasa negeri ini tidak tepat apabila dirujuk hanya kepada Exco bukannya baginda,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat bukan Melayu yang memiliki tanah berstatus rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan telah diarahkan untuk menukar status tanah lain miliknya kepada rizab Melayu.

Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip dilaporkan berkata, rundingan berkaitan perkara itu telah dilakukan dengan syarikat berkenaan di mana mereka menggantikan tanah bukan rizab Melayu milik syarikat di Teluk Intan dan Tapah kepada rizab Melayu.

Katanya, setakat ini, keseluruhan tanah milik syarikat yang telah ditukar menjadi rizab Melayu hanya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah dimiliki di Sitiawan.

Isu tanah rizab Melayu di Sitiawan hangat diperkatakan kerana sudah berpindah milik kepada bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu kepada syarikat bukan Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya