Pembinaan SJKC Too Joon Hing di Kinrara jadi kontroversi

SJKC Too Joon Hing di Kinrara jadi kontroversi

PEMBINAAN SJKC Too Joon Hing atas tapak yang asalnya untuk sekolah kebangsaan di Kinrara, Puchong menimbulkan kontroversi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing kontroversi baru-baru ini atas tapak yang asalnya untuk sekolah kebangsaan di Kinrara, Puchong.

Pembinaan tersebut akan menjadikan ia sekolah ketujuh SJKC dalam radius lima kilometer di kawasan tersebut selepas SJKC Kheng Chee, SJKC Yak Chee, SJKC Bukit Serdang, SJKC Shin Cheng (Harcroft), Tzu Chi International Chinese School dan SJKC Lai Meng.

Taburan SJKC tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati penduduk termasuklah Azizi Hashim.

Menurut Azizi, SJKC Too Joon Hing pada asalnya akan dibina di Taman Putra Prima, Puchong, namun terkejut apabila sekolah itu berpindah ke tapak yang diwartakan untuk sekolah kebangsaan tanpa pengetahuan persatuan penduduk dan penduduk setempat.

Sedangkan, kata  beliau, ketika ini tiga buah sekolah kebangsaan sedia ada iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 1, SK Seksyen 2 dan SK Bukit Kuchai sudah terlalu padat.

“Satu darjah merangkumi sembilan hingga 10 kelas dengan kepadatan lebih 40 murid buat satu kelas.

“Ada antara anak penduduk terpaksa bersekolah di Petaling Jaya dan Bukit Jalil disebabkan ketiadaan tempat di sekitar Kinrara,” kata beliau dalam akaun Facebook miliknya.

SJKC Too Joon Hing adalah antara 10 SJKC diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) atas permohonan MCA pada 2017.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Dr. Mah Hang Soon mempertahankan pembinaan SJKC Too Joon Hing di tapak tersebut sambil mendakwa lokasi sekolah itu ditukar ke Bandar Kinrara Seksyen 5 ketika zaman pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana prosedur pertukaran selesai, kementerian mengeluarkan permit kelulusannya dan diserahkan kepada jawatankuasa pembinaan sekolah ini pada bulan Mei tahun lepas,” katanya.

Malah, katanya, pembinaan SJKC baharu itu seharusnya diterima semua pihak kerana ia bukanlah sekolah berasaskan kaum Cina semata-mata.

“Pengiktirafan masyarakat bukan Cina kepada SJKC disambut positif oleh pengelola SJKC dan masyarakat Cina. SJKC ialah sekolah untuk rakyat, bukannya sekolah hanya untuk orang Cina.

“Jadi, jangan ada mana-mana pihak yang berusaha menggunakan isu pembinaan sekolah untuk membangkitkan sensitiviti kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, proses penubuhan SJKC Too Joon Hing adalah berdasarkan prosedur dan persetujuan Kementerian Pendidikan serta kebenaran pembangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Beliau juga menganggap pembinaan SJKC baharu itu akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas kerana penduduk tempatan sering mengadu perkara tersebut.

“Saya percaya selepas pembukaan sekolah ini, ia dapat mengurangkan kesesakan di tempat-tempat ini,” katanya.

SJKC Too Joon Hing dijangka siap pada 2021 dan bakal menerima 1,000 pendaftaran murid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya