Satu keluarga satu penagih - Utusan Malaysia

Satu keluarga satu penagih

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Hussain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Salah guna dadah dilihat tidak akan selesai sebaliknya terus kritikal apabila setiap keluarga di negara ini dikhuatiri bakal mempunyai seorang yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah menjelang 2029.

Kajian Institut Keselamatan Awam (IPSOM) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Universiti Teknologi Malaysia mendapati, dalam tempoh lapan tahun akan datang, negara akan merekodkan seramai 2.5 juta penagih dengan purata penggunaan 319,400 kilogram (kg) dadah yang dianggarkan bernilai RM16 bilion.

Gejala penyalahgunaan dadah yang semakin serius itu dilakukan secara berkumpulan dengan nisbah penagih dalam komuniti kini adalah 1:7 orang bermakna jumlah sebenar penagih sudah lebih tiga juta.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Hussain berkata, unjuran ancaman dadah itu mengambil kira situasi semasa yang dipenuhi lambakan bahan terlarang diseludup masuk selain dadah dihasilkan sindiket-sindiket tempatan.

Menurut beliau, hal tersebut terbukti dengan rampasan dan tangkapan dilakukan pegawai dan anggota JSJN di seluruh negara yang tidak nampak mahu berakhir.

“Hampir setiap minggu ada operasi dilakukan Bukit Aman, kontinjen hingga peringkat daerah. Walaupun JSJN kekurangan perjawatan namun pegawai dan anggota saya komited mengurangkan penawaran dan permintaan dadah. Jabatan Narkotik bertindak secara proaktif bukan secara reaktif. Warga narkotik akan cari dan buat risikan jadi orang tak nampak betapa susahnya kita buat kerja.

“Kita tangkap sindiket besar sekali operasi, daripada kingpin hinggalah kepada penghantar. Kalau satu kes hampir tiga kertas siasatan dibuka. Ada di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 hinggalah ke Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK),” kata beliau kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Bukit Aman minggu lalu.

Kata beliau, walaupun JSJN sedang bertindak agresif namun dapatan kajian meramalkan menjelang tahun 2029, Malaysia bakal mempunyai hampir 2.5 juta penagih dadah.

Justeru, Razarudin berkata, pihaknya berazam untuk terus memerangi penyalahgunaan dadah bagi menyekat dapatan kajian tersebut menjadi kenyataan.

“Azam saya bagi menentukan bahawa cicit saya pun tidak terlibat dengan dadah, jadi ini (lambakan dadah) yang kita perangi habis-habisan dan saya akan pastikan anggota dan pegawai saya bersih dan jujur,” katanya .

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, setakat ini, JSJN mempunyai 5,930 pegawai dan anggota di seluruh negara iaitu 4.3 peratus daripada keseluruhan perjawatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, jumlah itu tidak mencukupi jika dibandingkan dengan beban tugas membanteras sindiket dadah sehinggakan beberapa daerah di Sarawak masih tiada jabatan JSJN.

“Ini juga menjadi kekangan kita untuk menguatkuasakan undang-undang dadah di daerah tersebut. Kita juga menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 1,000 individu dengan tangkapan seramai hampir 700 penagih setiap hari di seluruh negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Razarudin memberitahu, sebanyak 41,150 kilogram dadah dirampas yang dianggarkan bernilai RM3.5 bilion dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 hingga Mac lalu.

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan rampasan pada 2019 iaitu 19,700 kilogram (RM2.7 bilion), 14,186 kilogram (RM454 juta) tahun lalu dan 7,272 kilogram (RM306 juta) bagi Januari hingga Mac lalu.

“Bagi tahun 2020, kita menumpaskan 305 sindiket manakala untuk tahun ini sebanyak 89 sindiket dengan jumlah bagi kedua-dua tahun iaitu seramai 1,537 orang.

“Selagi ada permintaan, sindiket akan sentiasa mencari peluang untuk membawa masuk serta menghasilkan dadah. Pelbagai cara mereka lakukan untuk seludup masuk dadah, ada melalui jalan laut atau kurier,” ujar beliau.

Tegas Razarudin, semua pihak perlu bersama-sama dengan polis serta penguat kuasa lain bagi membanteras kaki dadah dalam memastikan generasi akan datang tidak berhadapan dengan ancaman keselamatan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×