Rentas negeri sambut raya bagai tempah maut - Utusan Malaysia

Rentas negeri sambut raya bagai tempah maut

Polis Diraja Malaysia akan mengetatkan syarat rentas negeri selain meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelak orang ramai menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang diperoleh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memberi ke­benaran kepada orang ramai merentas negeri untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan bulan depan boleh diibaratkan ‘menempah maut’ dan bakal mengundang lebih ba­nyak kes jangkitan Covid-19.

Presiden Pertubuhan Dok­­tor-Doktor Islam Malaysia, (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail menolak cadangan pel­­bagai pihak yang mahu perjalanan rentas ne­geri dilonggarkan.

Malah, beliau menggesa kerajaan mengetatkan syarat merentas negeri, mengenakan hu­kuman berat kepada pe­salah dan meningkatkan pe­matuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kementerian Kesihatan mengambil langkah te­pat dengan menangguhkan cadangan rentas negeri untuk hari raya, cuma masih ada rakyat tetap mahu pulang atas alasan sudah dua tahun tidak beraya di kampung.

“Lihat sahaja gambar-gambar suasana bazar Ramadan yang dikunjungi ramai orang seperti yang tular di media sosial, berapa ramai yang patuh terhadap SOP? Penjarakan fizikal tidak diamalkan, inikan pula mahu rentas negeri.

“Rakyat kena faham, ini bukan lagi soal sentimen hari raya seperti kebiasaan kita meraikannya. Tetapi, ia merupakan keperluan untuk kemaslahatan bersama. Sejak pilihan raya negeri di Sabah, kes tidak berhenti melonjak naik. Bersabarlah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan mencadangkan perjalanan rentas negeri untuk sambutan Aidilfitri pada bulan depan ditangguh selain bazar Ramadan akan ditutup jika terdapat kluster jangkitan akibat aktiviti bazar.

Pilihan Raya Negeri Sabah pada September tahun lalu merekodkan sejarah hitam negara apabila kes jangkitan Co­vid-19 naik secara mendadak antara 3,000 sehingga 5,000 kes sehari berikutan kegagalan orang ramai pihak mematuhi SOP.

Pakar perubatan kesihatan awam dari Jabatan Perubatan Tentera Hospital Tuanku Mizan, Kolonel Dr. Mohd. Arshil Moideen pula berpendapat, kerajaan tidak akan sesuka hati membataskan pergerakan orang ramai jika tidak kerana kes jangkitan berada pada tahap membimbangkan.

Ini ditambah pula dengan strain wabak bermutasi dari negara luar seperti Amerika Syarikat dan Afrika Selatan yang kini merebak dalam negara dan boleh membawa kepada keada­an yang sukar dibendung jika tidak dikawal dari awal.

“Keputusan ini adalah jelas berdasarkan data saintifik bukannya emosi. Kalau ada satu strain virus sahaja mungkin kita boleh tangani, cuma masalah sekarang sudah macam-macam jenis virus yang ada.

“Selagi kita tidak mencapai kadar imuniti 70 peratus untuk vaksin Covid-19, selagi itulah risiko jangkitan adalah tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN