PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja diperluaskan kepada empat subsektor selain melanjutkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di sektor perladangan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah khas itu antara beberapa perkara diputuskan dalam memastikan pemulihan ekonomi negara dapat dipercepatkan.
Menerusi mesyuarat dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, beliau juga mengumumkan syarat kelayakan peserta program rekalibrasi tersebut turut diperluaskan lagi.
“Setelah memperhalusi semua cadangan, kerajaan bersetuju buka subsektor baharu iaitu perkhidmatan restoran, kargo, borong dan runcit serta pembersihan dan pencucian,” katanya selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Kelima Bilangan 1/2021 di Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja antara insiaitif dua kementerian itu selain Pelan Rekalibrasi Pulang bagi memberi peluang pendatang asing tanpa izin (PATI) balik segera ke negara asal.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, syarat kelayakan peserta juga meliputi PATI yang sudah pun berdaftar untuk penempatan semula kerja tetapi belum lengkap proses permohonannya.
“Mereka ini akan diterima walaupun belum lagi dapat PLKS selain PATI yang ada dokumen perjalanan sah dan juga yang lari tetapi tidak dilaporkan oleh pihak majikan,” kata beliau.
Justeru ujarnya, bagi melancarkan program itu, kerajaan turut membenarkan penglibatan agensi pekerjaan swasta yang berlesen di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1991.
Bagaimanapun katanya, majikan masih perlu hadir ke mana-mana pejabat Jabatan Imigresen untuk memproses pelbagai urusan dokumentasi pekerja terutama pengesahan biometrik.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PLKS untuk pekerja asing di sektor perladangan dilanjutkan sehingga setahun daripada tarikh tamat bagi mengelak isu terputus tenaga kerja.
“Ini berdasarkan keputusan jemaah menteri pada 7 April lalu ekoran syarikat perladangan berasa bimbang tiada pekerja gantian warga tempatan dalam masa terdekat,” kata Hamzah.
Begitu juga moratorium sehingga akhir tahun ini ujarnya, untuk warga asing yang bekerja di bot nelayan tempatan tidak perlu PLKS jangka pendek namun akan diwajibkan selepas itu.
Beliau menjelaskan, setakat ini seramai 71,510 orang PATI memilih Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja manakala sejumlah 73,500 orang PATI lagi mahu menyertai Pelan Rekalibrasi Pulang.
Pelaksanaan dua pelan itu jelasnya, berjaya ‘memutihkan’ PATI dan sekali gus membendung mereka yang tiada majikan daripada terjebak dalam kancah jenayah akibat desakan hidup.
Pada masa sama, beliau menyelar badan bukan kerajaan tertentu yang ‘membela’ PATI untuk diberi pelbagai keistimewaan tetapi dibiar golongan itu bebas berkeliaran tanpa dokumen sah. – UTUSAN










