PUTRAJAYA: Penggunaan katil bagi merawat pesakit Covid-19 di hospital kerajaan berada dalam keadaan kritikal apabila sudah mencapai 80 hingga 100 peratus terutama di negeri-negeri yang berlaku peningkatan kes positif mendadak.
Begitu juga, kapasiti penggunaan katil, wad dan unit rawatan rapi (ICU) di hospital- hospital swasta di Lembah Klang juga penuh 100 peratus.
Situasi tersebut menyebabkan hospital swasta tidak lagi mampu menerima pesakit Covid-19 sekali gus memerlukan perhatian serius semua pihak termasuk kerajaan.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pada masa ini terdapat beberapa hospital awam di Selangor, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Johor selain Sarawak mencapai tahap maksimum walaupun purata keseluruhan penggunaan katil di 72 hospital merawat wabak itu kini meliputi 54 peratus manakala rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) pula 43 peratus.
Adham berkata, lebih membimbangkan apabila kadar penggunaan katil (BOR) bagi pesakit di hospital-hospital serta enam PKRC di Kelantan hampir penuh akibat peningkatan mendadak kes itu dalam tempoh 14 hari lalu.
BOR terkini di hospital dan enam PKRC sedia ada di negeri itu sudah mencapai 80 peratus dan ke atas malah ada beberapa lokasi yang sudah mencecah lebih 100 peratus.
Bagaimanapun, Adham berkata, pengurusan fasiliti kesihatan awam merawat pesakit Covid-19 berjalan lancar dan pihaknya terus menyusun strategi terbaik bagi menempatkan pesakit supaya tidak berlaku sehingga tahap berbahaya.
Justeru, beliau meminta orang ramai memberi kerjasama terutama tidak melakukan perjumpaan besar atau berkumpul beramai-ramai bagi mengelakan Covid-19 terus menular.
Adham memberitahu, larangan rentas negeri ketika ini, terutama untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bukan dibuat suka-suka bagi menyekat pergerakan rakyat.
“Petugas kesihatan terbeban sekarang ini, mereka pun nak balik raya juga. Namun sebagai agensi utama dalam menangani kes pandemik ini walaupun berada dalam keadaan tertekan, kita laksanakan yang terbaik bagi memastikan kesihatan rakyat dapat dipenuhi.
“Kita belum menang dalam mengatasi wabak kerana kebimbangan ketika ini ialah kehadiran varian baharu. Jangan sampai peristiwa di India berlaku di negara ini kerana akibat perkumpulan dan perjumpaan besar menjadi punca kemerosotan tinggi sehingga mencetuskan krisis di negara itu,” kata beliau di sini semalam.
Adham berkata, pada masa ini, dua hospital di Selangor mencapai lebih 80 peratus iaitu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Sungai Buloh dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur (85 peratus) dan Hospital Permai, Johor (82 peratus).
Selain itu, kata beliau, di Kelantan, Hospital Raja Perempuan Zainab II (90 peratus); Hospital Sultan Ismail Petra (89 peratus), Hospital Tumpat (100 peratus); Hospital Machang (88 peratus) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) (100 peratus).
Begitu juga di Sarawak, beliau memberitahu, ia melebihi tahap penggunaan 100 peratus, namun Kementerian Kesihatan membuat pertambahan katil seperti di Hospital Bintulu, Hospital Sarikei (109 peratus); Hospital Kapit (lebih 100 peratus).
Menurutnya, pengurusan rawatan Covid-19 di Lembah Klang turut mendapat kerjasama hospital swasta iaitu melalui penubuhan Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 di Maeps, Serdang selain mempunyai 23,366 katil di PKRC seluruh negara untuk merawat pesakit tahap 1, 2 dan 3.
“Walaupun hospital swasta mendakwa hampir penuh, kita mencadangkan kes-kes bukan Covid-19 yang dihantar ke hospital swasta untuk mengurangkan tekanan sektor awam.
“Pesakit Covid-19 pada tahap 4 dan 5 apabila sudah pulih ke tahap di bawah 3, akan dipindahkan ke PKRC yang mana masih ada ruang dan pada masa ini tahap penggunaannya sebanyak 10,042 katil,” katanya. – UTUSAN










