Ketiadaan pesuruhjaya tinggi di Singapura tidak jejas hubungan - Utusan Malaysia

Ketiadaan pesuruhjaya tinggi di Singapura tidak jejas hubungan

HISHAMMUDDIN Hussein (dua kanan) memakaikan beg sekolah baharu kepada seorang murid pada Program Malaysia Prihatin Parlimen Sembrong di Dewan MPK di Paloh, Johor. -UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Hubungan bilateral Malaysia dan Singapura tidak akan terjejas meskipun jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara itu masih lagi dalam proses untuk dilantik ketika ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beberapa perkara teknikal perlu dilihat untuk urusan pelantikan itu terutamanya soal calon yang sedang diuruskan Wisma Putra.

“(Pelantikan) masih dalam proses, tetapi sama ada jawatan itu diisi atau tidak, semua sedia maklum bahawa hubungan kita dengan Singapura berjalan seperti biasa.

“Ada banyak lagi kekosongan yang perlu diisi tetapi saya tak nafikan dalam landskap Covid-19 ketika ini tidak mudah untuk kita meletak wakil-wakil duta di negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin Parlimen Sembrong di Dewan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) di Paloh, di sini hari ini.

Sebelum ini, jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura disandang Datuk Zainol Rahim Zainuddin sebelum beliau bersara wajib pada April tahun lalu.

Beberapa isu turut dikaitkan dengan ketiadaan pesuruhjaya tinggi tersebut di negara berkenaan termasuk masalah kesesakan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk rakyat negara ini memperbaharui pasport mereka.

Akhbar The Straits Times di Singapura juga pernah melaporkan terdapat rakyat Malaysia yang perlu beratur sehingga lima jam untuk urusan berkenaan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura bagi berjumpa rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong pada awal Mei ini.

Beliau berkata, antara agenda yang dijangka akan disentuh dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu adalah pembukaan pintu sempadan Malaysia-Singapura yang sudah lebih setahun ditutup ekoran pandemik Covid-19.

“Malah, proses perbincangan dan rundingan berhubung perkara itu juga sentiasa berjalan antara saya dengan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan dan saya juga berhasrat untuk berkunjung ke sana dalam masa terdekat,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya