GEORGETOWN: Perbalahan mengenai bekalan air mentah di Sungai Muda perlu diketepikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah bagi mengelak rakyat menjadi mangsa.
Perbalahan itu tidak mendatangkan manfaat ketika ramai penduduk khususnya di Kedah masih memerlukan fokus daripada kerajaan bagi mengatasi masalah bekalan air.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) merangkap Sekretariat Sahabat Ulu Muda, (FOuM), R. Meenakshi berkata, ketika perdebatan panas berlaku antara kedua-dua negeri, air dari hulu Sungai Muda iaitu Kompleks Hutan Ulu Muda terus terancam berikutan kegiatan pembukaan hutan, pembalakan dan perlombongan.
Isu utama yang perlu diatasi adalah bekalan air bersih.
Sebelum ini, dianggarkan 15,000 penduduk melibatkan kira-kira 20 kampung di pedalaman Baling, Kedah tidak mendapat bekalan air bersih sejak 10 tahun lalu, sehinggakan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada sumber seperti air bukit, sungai dan perigi untuk kegunaan harian.
Terbaharu, kira-kira 10,000 penduduk di daerah ini mendakwa sumber tadahan air bukit yang digunakan mereka keruh dan berselut akibat aktiviti pembalakan sejak kebelakangan ini.
Kepada Utusan Malaysia, penduduk mendakwa bekalan air disalurkan dari sembilan kolam tadahan air terdapat di daerah itu.
Air dari kolam tadahan keruh dan berselut selepas hujan lebat.
Peniaga kedai runcit, Mohd. Shahrul Izwan Romali, 33, dari Kampung Tanjung Pari berkata, masalah itu menimbulkan kesulitan kepada penduduk yang bergantung kepada sumber air bukit.
Menurutnya, masalah air tercemar dengan tanah merah itu kerap berlaku sejak hujung tahun lalu dipercayai selepas berlaku aktiviti pembalakan di sekitar takungan air di Sera Ular di sini.
“Kami mengguna air yang yang disalurkan paip dari bukit yang dikenali air masyarakat sejak puluhan tahun lagi, namun sejak akhir-akhir ini bekalan air tersebut keruh dan selut.
“Kadang-kadang kami terpaksa menunggu hingga ke malam untuk mendapatkan air yang jernih, itupun jika tidak hujan, jika hujan kami terpaksa mencari alternatif lain seperti menadah air hujan dan menggunakan air sungai,” katanya.
Suri rumah, Rubiah Talib, 66, berkata, mereka terpaksa menangguhkan kerja-kerja seperti membasuh untuk beberapa hari sehingga air menjadi jernih.
“Untuk memasak dan minum kami terpaksa menggunakan air mineral atau air tapis yang ada di surau, masjid atau sumber air perigi dari rumah jiran.
“Ada yang terpaksa membeli makanan di kedai kerana tiada air bersih untuk memasak,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat SAM, Mageswari Sangaralingam berkata, Jabatan Perhutanan negeri sepatutnya memastikan kegiatan pembalakan di kawasan takungan air dilakukan berhati-hati dan terkawal.
Menurutnya, kegiatan pembalakan yang tidak terkawal menyebabkan berlaku pencemaran air dalam takungan tersebut.
“Keadaan tersebut menyebabkan penduduk kampung berdekatan menerima bekalan air yang keruh dan berselut.
“SAM akui pembalakan tersebut dijalankan secara ‘halal’, namun perlu dikawal,” katanya. – UTUSAN











