IPT terlampau banyak - Utusan Malaysia

IPT terlampau banyak

Nasib pelajar perubatan di Mesir terumbang-ambing ekoran ketetapan baharu dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berhubung kelayakan kelulusan mereka. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia yang mempunyai penduduk sekitar 32 juta orang hanya memerlukan sekitar 15 hingga 20 universiti termasuk awam dan swasta.

Ahli Majlis Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo bagaimanapun berkata, keadaan itu berbeza apabila pertumbuhan universiti dan kolej swasta terlalu banyak sehingga menjadi satu perniagaan kepada pemilik pusat-pusat pengajian tinggi.

“Susulan lambakan universiti dan pengambilan pelajar boleh diambil seberapa banyak yang mungkin, maka terhasilah lebihan graduan yang sebahagiannya selepas tamat belajar tidak mempunyai kualiti,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Beliau yang merupakan ahli Pertubuhan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (PenDaPat) berkata, setiap negeri disarankan memadai memiliki sebuah atau dua universiti manakala untuk universiti awam pula negara cuma perlu memiliki lima atau enam universiti.

“Lambakan universiti, kolej dan kolej universiti kini dilihat hanya mengutamakan keuntungan berbanding nilai ilmu dan kemahiran memasuki industri pekerjaan,” ujarnya.

Katanya, situasi itu juga menyebabkan lahir terlalu ramai graduan daripada pelbagai `jenama’ IPT dan ada `jenama’ IPT tersebut yang terlalu asing.

Justeru, kata beliau, kerajaan perlu mengawal penubuhan IPT terutama swasta bagi memastikan pelajar yang diterima memasuki IPT adalah yang benar-benar boleh belajar dan bukan kerana mereka ada duit.

Sebaliknya, Ibrahim menyarankan selain daripada enam buah universiti awam yang memberikan tumpuan kepada pembangunan ilmu, kerajaan perlu memperbanyakkan IPT yang menjurus kepada tawaran kursus teknikal dan kemahiran aras tinggi bagi memenuhi pasaran kerja negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebenarnya masalah utama berlaku di IPT bukan disebabkan kursus ditawarkan tidak memenuhi kehendak semasa sebaliknya berpunca daripada graduan tidak berkualiti walhal sudah menamatkan pengajian.

“Segelintir graduan kita yang belajar di kebanyakan IPT sekadar lulus untuk mendapat ijazah. Apabila ditemuduga mereka ini tidak boleh berkomunikasi dengan baik, pengetahuan am kurang. Siapa yang mahu mengambil mereka untuk bekerja?.” katanya.

Baru-baru ini, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGURU) menggesa kerajaan melihat semula kursus-kursus ditawarkan di IPT awam dan swasta yang berisiko menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran. Bagaimanapun, rata-rata ahli akademik tidak bersetuju dengan dakwaan itu kerana pengangguran didakwa juga boleh didorong faktor lain seperti keadaan ekonomi dan kualiti graduan.

Jabatan Perangkaan merekodkan pengangguran di negara ini mencecah 777,500 orang manakala statistik www.jobsmalaysia.gov menunjukkan 174,327 pemohon pekerjaan adalah dalam kalangan siswazah.

Mengulas soal itu, kata Ibrahim, semua universiti memang perlu dan sentiasa memperbaiki kurikulum berdasarkan situasi semasa namun menyifatkan kursus di IPT sebagai tidak relevan atau tidak menjamin pekerjaan adalah tidak munasabah.

“Ini kerana, mereka yang mendakwa kursus-kursus di IPT tidak relevan hanya daripada perspektif pekerjaan semasa. Dia hanya fikir apabila seseorang graduan tidak dapat pekerjaan terus dikatakan kursus dipelajari tidak relevan.

“Tidak perlu pun memperbaharui kursus-kursus di IPT dengan menggugurkan atau memperkenalkan kursus baharu yang kononnya mengikut kehendak semasa. Kalau buat macam itu rosaklah universiti kita. Kursus sedia ada mungkin tiada kerja secara langsung tetapi masih penting membina sahsiah diri,” katanya.

Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma bersetuju dengan Ibrahim.

Bagaimanapun, menurut beliau, bilangan universiti bukan isu utama sebaliknya kualiti pengajaran dan pembelajaran sehingga graduan menamatkan pengajian masing-masing yang menjadi persoalan.

“Di Eropah jumlah universiti lebih banyak daripada Malaysia. Ini tidak bermakna apabila universiti banyak, graduan tidak berkualiti dan apabila universiti sikit graduan lebih berkualiti. Di negara maju pun, banyak universiti namun masih menghasilkan graduan berkualiti seperti University Harvard.

“Masalah kita adalah menghasilkan graduan yang tidak diperlukan dalam pasaran kerja semasa. Kursus yang ditawarkan masih berorientasikan dunia akademik sedangkan yang diperlukan sekarang adalah kursus yang sesuai dengan tuntutan pasaran terkini,” katanya.

Pengerusi Majlis Profesor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ahmad Sazali Hamzah pula berkata, semua pihak perlu merujuk kepada nisbah terkini IPT awam dan swasta sebelum menetapkan kuota tertentu universiti di negara ini.

“Kalau permintaan daripada penuntut universiti itu masih ada, maka tidak mengapa. Cuma, kualiti pengurusan di universiti itu masing-masing kena jaga,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN