Banyak punca Sungai Kim Kim tenat - Utusan Malaysia

Banyak punca Sungai Kim Kim tenat

Kakitangan sebuah makmal bebas menggunakan peralatan khas, Van Dorn water sampler ketika mengambil sampel air Sungai Selangkah pada 5 Mac 2021. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Kehadiran bahan buangan ke Sungai Kim Kim berpunca daripada banyak faktor termasuk pelepasan enap cemar yang tidak sepatutnya selain dipengaruhi air pasang surut.

Pakar kualiti air dan permodelan, Dr. Zaki Zainuddin berkata, berpunca daripada faktor- faktor itu, sesetengah bahan pencemar akan berada lama di dalam sungai.

“Contoh sewaktu air pasang mati atau sejurus sebelum air surut, kadar aliran sungai menjadi perlahan yang akan menyebabkan bahan pencemar kekal lebih lama dalam sungai tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, pengaruh air pasang surut itu menyebabkan air sungai menjadi lebih sensitif untuk berlakunya pencemaran dengan bahan pencemar juga lebih mudah terampai di sesuatu segmen sungai.

“Malah sesetengah bahan pencemar yang jatuh ke dasar sungai menjadi sebahagian daripada sedimen. Ia akan mempunyai implikasi tertentu dan sebagai contoh, bahan organik yang tinggi memerlukan lebih masa untuk terurai sehingga mengakibatkan kejatuhan mendadak terhadap oksigen terlarut,” katanya.

Selain itu, Zaki memberitahu, air yang tidak bergerak atau bergerak perlahan akan menghalang pengudaraan semula sehingga perkara itu memburukkan kualiti air sedia ada tanpa perlu mengambil kira bahan-bahan pencemar lain.

Katanya, saiz sungai juga memainkan peranan penting untuk menerima kadar bahan pencemar yang selalunya tidak diambil kisah bagi setiap pembangunan di sesebuah kawasan yang berdekatan dengan sungai.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kewujudan pembangunan terutamanya kawasan industri di Pasir Gudang yang tidak dapat ditampung lagi oleh Sungai Kim Kim dan Sungai Selangkah yang kini terperangkap dalam Kelas V.

Jelas beliau, sistem perundangan di negara-negara maju akan meletakkan keutamaan atau mementingkan kapasiti menerima bahan pencemar kepada setiap sungai di kawasan pembangunan.

“Perundangan kita tidak mengambil kira terhadap carrying capacity sesuatu sungai. Maka memang betul perlu ada penambahbaikan untuk perkara itu yang saya difahamkan pihak berkaitan sudah melakukan kajian sebelum dilaksanakan.

“Betul sungai masih ada peluang untuk pulih secara semula jadi jika ada pencemaran, tetapi sekiranya banyak pencemaran tertumpu di kawasan sama, sungai akan terkesan dengan teruk kerana beban pencemaran tinggi.

“Tetapi, sebaliknya jika sungai terbabit luas, besar dan punca pencemaran tidak teruk maka kesan terhadap sungai juga akan kurang terjejas serta tiada masalah untuk pulih secara semula jadi dengan pantas,” katanya.

Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meena Raman berkata,
proses pemeliharaan dan pemuliharaan Sungai Kim Kim perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk pemerhatian ke atas anak-anak sungai yang bersambungan dengan sungai induk tersebut selain parit-parit yang mungkin menyumbang kepada pencemaran.

Menurut beliau, langkah itu perlu kerana aliran daripada sumber tersebut berkemampuan membawa bahan pencemar.

Mengulas lanjut, Meena berkata, perkara yang perlu diingati adalah setiap sungai mempunyai carrying capacity atau keupayaan menampung bahan pencemar pada tahap tertentu sahaja.

“Dari aspek ini pihak berkuasa perlu memetakan kesemua punca pencemar sama ada yang tetap atau tidak dan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani pencemaran daripada punca tersebut.

“Sekiranya didapati pembangunan industri, penternakan atau aktiviti lain yang mampu mencemarkan sungai, ia perlu dipindahkan dari kawasan tersebut,” jelas beliau.

Katanya, SAM bimbang dengan `nasib’ Sungai Kim Kim yang teruk tercemar disyaki berpunca daripada pembuangan sisa ke dalam sungai daripada industri dan aktiviti lain.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Sungai Kim Kim dan anak sungainya iaitu Sungai Selangkah tenat apabila bacaan Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) dan Ammonia as N mencatatkan bacaan yang tinggi.

Hasil analisis makmal bebas terhadap sampel air di kedua-dua sungai yang dilakukan pada 5 Mac lalu itu turut meletakkan Sungai Kim Kim dan Sungai Selangkah dalam Kelas V mengikut Standard Kualiti Air Kebangsaan (NWQS) sebagai paling tercemar dan tidak sesuai untuk sebarang tujuan kegunaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×