fbpx

AIM bantu pertahankan perniagaan minyak gamat

NORMILAWATI Noor Muhamad menunjukkan produk minyak gamat yang diusahakan syarikat keluarganya, Warisan Salju di Kampung Perana, Langkawi, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Jumlah kehadiran pelancong yang merosot berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu banyak menjejaskan pemain industri pelancongan di pulau peranginan ini.

Selain pengusaha hotel, resort dan peniaga, turut menerima tempias tersebut ialah syarikat Warisan Salju Enterprise (Warisan Salju), pengeluar produk minyak gamat yang kini sinonim dengan pulau lagenda tersebut.

Pengurusnya, Normilawati Noor Muhamad, 42, berkata, perniagaannya yang bertempat di Kampung Perana di sini, terjejas teruk berikutan pelaksanaan PKP.

“Sebelum ini, kami mengeluarkan kira-kira 240,000 botol minyak gamat sebulan, namun sepanjang PKP jumlah tersebut merosot kepada 50,000 botol.

“Kami bernasib baik kerana berjaya memperoleh pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM10,000 untuk dijadikan modal pusingan pada Julai lalu dan saya tidak dapat menggambarkan bagaimana agaknya keadaan perniagaan ini sekarang tanpa bantuan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Cerita Normilawati yang lebih mesra dipanggil Along, perniagaan minyak gamat itu telah dijalankan keluarganya sejak turun-temurun dan dia merupakan generasi keempat yang mewarisi perniagaan berkenaan.

Jelasnya yang turut menceburi bidang katering dan menjual kuih-muih, dia menjadi Sahabat AIM pada tahun 2013 dan sejak itu AIM cawangan Langkawi dan ibu pejabat tidak pernah putus memberi sokongan dan semangat untuk mengangkat perniagaannya ke peringkat lebih tinggi.

“Saya mula membuat pinjaman dengan AIM sebanyak RM3,000 sebagai modal untuk mengembangkan lagi perniagaan minyak gamat.

“Selepas berjaya menjelaskan bayaran pinjaman tersebut dalam tempoh 25 minggu, saya membuat pinjaman baharu sebanyak RM5,000 sebagai simpanan modal perniagaan.

“Beberapa tahun kemudian, saya membuat pinjaman berjumlah RM9,000 bagi membeli peralatan untuk memasak minyak gamat dan tempahan katering. Alhamdullilah, setakat ini saya dapat menjelaskan pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan,” ujarnya.

Menurut Normilawati, sebagai Sahabat AIM, dia mendapat banyak bimbingan keusahawanan menerusi pelbagai program yang dianjurkan oleh pihak AIM untuk memajukan lagi perniagaan usahawan sepertinya.

Tambahnya, AIM turut membantu mempromosikan perniagaan minyak gamat yang diusahakannya tidak hanya di Langkawi, malah di seluruh negara.

“Bagi memastikan perniagaan dapat berjalan seperti biasa ketika PKP ini, saya mula beralih kepada platform perniagaan dalam talian hasil daripada tunjuk ajar yang diberikan oleh AIM.

“Sambutan yang diterima menerusi jualan secara online ini cukup menggalakkan daripada pelanggan seluruh negara,” jelasnya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan produk gamat, bolehlah menghubungi Puan Normilawati di talian 014-7973904. – UTUSAN ONLINE