PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengerahkan 2,266 penguat kuasanya melakukan pemantauan harga barang di seluruh negara walaupun berdepan kekangan kekurangan anggota yang serius.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian berhadapan dengan pelbagai isu pengguna setiap hari dan anggota penguat kuasa yang ada amat sedikit, namun, tetap dikerahkan bagi memantau pelbagai isu membabitkan 32 juta penduduk Malaysia.
“Walaupun dalam jumlah yang sedikit, anggota penguat kuasa cuba sehabis baik untuk menangani isu-isu pengguna termasuk menjalankan pelbagai tugas lain seperti risikan, pemantauan siasatan aduan dan kutipan data,” katanya.
Akhbar ini kelmarin melaporkan kebimbangan rakyat yang terbeban sekali lagi dengan peningkatan harga runcit barangan di seluruh negara ketika hari pertama Ramadan.
Alexander memberitahu, daripada Op Pantau yang dilancarkan kelmarin, sebanyak 2,499 pemeriksaan dilakukan dengan sembilan kes diperoleh di bawah pelbagai perundangan di bawah kementerian itu.
Selain itu, katanya, pihaknya menggerakkan beberapa operasi bagi memastikan pematuhan peniaga terhadap isu harga dan bekalan seperti Op Ria (pematuhan tanda harga pasar raya sempena perayaan); Op Suri (pematuhan tanda harga pasar-pasar awam); Op Teko (pematuhan tanda harga di restoran dan kedai makan); Op Catut 8.0 (memantau kenaikan harga) dan Op Pasar (memantau pasar).
“Kementerian sentiasa memandang serius isu kenaikan harga barang keperluan pengguna yang tidak terkawal kerana ia menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat.
“Bagaimanapun, kementerian tidak membuat sebarang penetapan harga barangan kecuali barangan harga terkawal atau barangan di bawah skim harga maksimum musim perayaan,” katanya.
Tambah Alexander, mana-mana individu yang cuba mengaut keuntungan berlebihan sebagai orang tengah dalam pasaran tidak akan dibiarkan terus membuli peniaga dengan cara menaikkan harga melampau sehingga memberi kesan kepada pengguna.
Alexander berkata, selain orang tengah, kenaikan harga barang juga disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti peningkatan permintaan melebihi jumlah penawaran, perubahan nilai mata wang asing lebih tinggi berbanding nilai ringgit; kewujudan banyak rantaian pengedaran barangan sebelum barangan sampai kepada pengguna serta aktiviti monopoli.
Katanya, turut dikesan ialah perubahan polisi negara asal (jika barangan diimport); perubahan pengenaan kadar cukai yang dikenakan; perubahan iklim, cuaca atau bencana alam (iaitu panas atau hujan yang berlebihan telah menyebabkan tanaman menjadi tidak subur atau rosak).
Selain itu, beliau menjelaskan, kesan lain melibatkan peningkatan kos keseluruhan perniagaan yang perlu ditampung (termasuk sewaan bangunan, pengangkutan dan utiliti) sedangkan kadar keuntungan berkurangan kesan daripada tempoh operasi perniagaan yang pendek, pelanggan yang terhad dan peningkatan kos pengeluaran atau barangan.
“Peningkatan harga bahan mentah atau komoditi; terma bayaran oleh peniaga daripada pembekal (termasuk tempoh pembayaran dibuat dan kuantiti barangan dibeli) dan tindakan peniaga yang mengambil kesempatan membuat keuntungan tinggi tidak munasabah atau menyorok bekalan,” katanya. – UTUSAN










