142 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas divaksin dos pertama

142 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas divaksin dos pertama

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 142 petugas kesihatan dilaporkan dijangkiti Covid-19 selepas menerima dos pertama vaksin.

Perkara itu diberitahu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dengan seramai 40 petugas kesihatan pula turut dijangkiti wabak itu walaupun sudah lengkap menerima dua dos suntikan.

Menurut beliau, 31 daripada petugas kesihatan itu dijangkiti kurang dua minggu selepas menerima suntikan dos kedua dan sembilan lagi selepas tempoh tersebut.

Walau bagaimanapun, kata beliau, apa yang lebih penting kesemua petugas kesihatan dijangkiti wabak tersebut tidak mempunyai simptom yang teruk.

“Jelas bahawa kita masih boleh dijangkiti selepas melengkapkan vaksinasi tetapi mungkin tidak teruk.

“Walaupun vaksin memberikan harapan untuk melawan Covid-19, namun ia bukan bermakna kita dapat melonggarkan semua langkah kesihatan awam setelah vaksinasi,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Noor Hisham pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya mematuhi semua langkah kesihatan awam. 

“Tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat. Harap terus mematuhi semua langkah kesihatan awam,” katanya. 

Sehingga kini, seramai 434,301 individu telah lengkap menerima dos kedua dalam Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula 24 Februari lalu. 

Jumlah itu daripada 671,589 individu dalam kalangan petugas barisan hadapan yang menerima  dos pertama. 

Sementara itu, sebanyak 8,834,823 sudah membuat pendaftaran untuk menerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.