Umur 80 tahun baru jadi warganegara - Utusan Malaysia

Umur 80 tahun baru jadi warganegara

V. GANABATIRAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Umur 80-an baru dianugerahkan kewarganegaraan selain ada impian warga emas untuk diiktiraf sebagai rakyat Malaysia tidak kesampaian kerana terlebih dahulu meninggal dunia.

Itu segelintir senario yang berlaku kepada pemohon kewarganegaraan susulan kerenah birokrasi dan pegawai bertugas yang menguruskan kes kadangkala mengikut interpretasi masing-masing dalam menilai permohonan.

Isu warganegara kepada anak-anak yang lahir di Malaysia atau luar negara serta anak angkat turut melalui tempoh sukar apabila permohonan tersebut memakan masa lebih setahun untuk diproses dan berulang kali ditolak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja negeri, V.Ganabatirau berkata, masalah dokumentasi diri dan kewarganegaraan berlaku dalam semua kaum namun peratusan tertinggi diwakili keturunan India dengan 40 peratus diikuti Melayu (30 peratus), Cina (20 peratus) dan lain-lain bangsa (10 peratus).

Menurut beliau, pelbagai punca kepada pemasalahan tersebut seperti kelemahan mendaftar penduduk selepas kemerdekaan, penyampaian maklumat kerajaan tidak sampai selain sikap masyarakat itu sendiri.

“Sampai sekarang masih ada dalam kalangan ahli keluarga generasi ketiga tidak ada dokumen pengenalan diri.

“Masalah kewarganegaraan dan penduduk tanpa pengenalan membabitkan ramai kaum India yang tinggal di ladang dan juga Orang Asli, selebihnya lain-lain kaum dalam kalangan berpendapatan sederhana serta ke bawah,” kata beliau dalam temu bual bersama Utusan Malaysi, di sini baru-baru ini.

Selain itu kata beliau, kerenah birokrasi seperti pegawai yang menguruskan perkara tersebut sering bertukar selain bertugas mengikut interpretasi masing-masing tanpa berpandukan kepada akta atau undang-undang merumitkan lagi permohonan.

Katanya, walaupun menyedari kepentingan birokrasi bertujuan untuk menjaga keselamatan negara, namun ia tidak perlu berleretan sehingga ‘mencekik’ mereka yang bermasalah dalam isu pengenalan diri termasuk tiada negara.

“Inilah masalahnya, lain pegawai lain caranya. Maka kerana itu masa yang panjang diambil untuk mendapatkan dokumentasi seseorang yang tiada dokumen.

“Contoh terdapat pegawai yang secara tidak langsung terselit nilai keagamaan semasa permohonan mahu mendaftar kewarganegaraan bagi anak luar nikah.

“Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau Kementerian Dalam Negeri tidak boleh menyelesaikan isu ini berdasarkan kepercayaan masing-masing kerana yang sebetulnya mereka perlu mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning memberitahu, retentan masalah itu, beliau memperkenal Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri Mysel (Mysel) bagi membantu golongan terutamanya kanak-kanak memperoleh dokumen peribadi bukan sahaja warganegara tetapi termasuk sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Menurut beliau, sejak September 2018, Mysel berjaya menyelesaikan 573 kes daripada 2,875 kes yang diuruskan. Kes-kes yang diterima membabitkan warganegara (857), sijil kelahiran (988), kad pengenalan merah (703) dan masalah anak angkat (324) dan lain-lain isu sebanyak 293 kes.

Beliau berpendapat, proses penganugerahan kewarganegaraan yang tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dipermudah dan diselaraskan dari segi undang-undang supaya dapat mengelakkan daripada sindiket dokumen palsu.

Pertengahan tahun lalu, kerajaan menerima 31,454 permohonan kewarganegaraan bagi tempoh dari 2015 hingga 30 Jun 2020 yang dikemukakan melalui Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Dari Mei 2018 hingga September 2019, Kementerian Dalam Negeri meluluskan 4,422 permohonan taraf kewarganegaraan daripada sebanyak 19,788 permohonan yang diterima oleh JPN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN