Tiga nelayan Vietnam cedera terkena serpihan tembakan - Utusan Malaysia

Tiga nelayan Vietnam cedera terkena serpihan tembakan

AMRAN Daud (kanan) menunjukkan parang yang digunakan nelayan warga Vietnam yang cuba melibas salah seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dalam sidang akhbar di pejabat Zon Maritim Malaysia Kemaman di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tiga nelayan Vietnam termasuk tekong cedera terkena serpihan tembakan selepas cuba menyerang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 80 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, Pahang, pagi semalam.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 19 kru sebuah bot dikatakan bertindak agresif dengan membaling objek keras dan tajam seperti besi pemberat pukat seberat lebih 10 kilogram, besi penyodok, tukul dan parang bagi menghalang diperiksa pasukan keselamatan.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud berkata, bot berkenaan merupakan antara dua yang dikesan mencuri hasil laut negara oleh Kapal Maritim Satria yang melakukan rondaan sebelum masing-masing memecut laju melarikan diri, kira-kira pukul 5.25 pagi.

Bagaimanapun, katanya, salah sebuah bot berjaya dipintas selepas tiga jam kemudian, namun, usaha pasukan Maritim Malaysia untuk mendekati dan memanjat bot berkenaan berdepan serangan secara tiba-tiba hingga beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan ke udara sebagai amaran.

“Bagi menghentikan tindakan nelayan tersebut dan demi keselamatan diri, tembakan dilepaskan, tetapi serpihannya terkena dan mencederakan tiga nelayan termasuk tekong bot. 

“Insiden tegang itu turut menyebabkan salah seorang pegawai Maritim Malaysia nyaris maut selepas dilibas dengan parang ketika cuba menaiki bot nelayan asing berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Zon Maritim Malaysia Kemaman di sini hari ini. 

Amran berkata, kesemua 19 nelayan Vietnam bersama bot itu berjaya ditahan kira-kira pukul 8.55 pagi dan hasil rampasan dianggarkan bernilai RM1.5 juta termasuk 500 kilogram hasil laut. 

Katanya, tiga nelayan yang cedera segera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang untuk menerima rawatan selepas tiba di jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan pada pukul 12.15 tengah malam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 di samping Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya