JELI: Tindakan dua lelaki menyembunyikan 900 kilogram daun ketum pada bahagian dinding belakang lori yang telah diubah suai boleh disifatkan sebagai kreatif.
Namun, taktik itu gagal mengaburi mata polis yang curiga melihat kenderaan itu bergerak tanpa muatan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Kampung Batu 6, Batu Melintang di sini kelmarin.
Malah, dua suspek berusia 20 dan 30 tahun itu seolah-olah tidak pernah serik kerana mereka juga pernah ditahan polis di Gerik, Perak pada 20 Januari lalu berhubung kes penyeludupan daun ketum.
Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli, Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, kedua-dua suspek ditahan pada pukul 1.45 pagi sewaktu anggota polis menjalankan Ops Benteng di SJR tersebut.
Katanya, lori lima tan itu datang dari arah Gerik menuju ke Jeli dan pemandunya mempunyai surat kebenaran merentas negeri bagi perkhidmatan keperluan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Katanya, pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek tidak menemukan sebarang perkara yang mencurigakan, namun polis mendapati ruang belakang lori berkenaan telah diubah suai dan nampak mencurigakan.
“Bahagian belakang lori tiada muatan, namun ada dinding papan lapis yang dipercayai diubah suai.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bungkusan di bahagian dalam papan lapis itu. Ia berisi daun ketum seberat 900 kilogram yang disusun di bahagian dinding kabin lori,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Jeli di sini hari ini.
Menurut Nik Ahmad Kamil, taktik menyembunyikan ketum dengan cara itu pertama kali dikesan berlaku di negeri ini.
Katanya, siasatan lanjut mendapati daun-daun ketum bernilai RM9,000 itu diambil dari Sik, Kedah untuk dipasarkan di sekitar Kelantan dan negara jiran.
Ujarnya, hasil soal siasat, suspek mengaku mengambil upah sebanyak RM500 untuk setiap satu penghantaran daun-daun ketum ke negeri ini.
“Selain daun ketum, polis turut merampas lori itu yang didaftarkan untuk perkhidmatan logistik,” katanya.
Kedua-dua suspek yang turut mempunyai rekod lampau berkait dengan dadah direman selama empat hari bermula kelmarin sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – UTUSAN










