fbpx

17 September 2021, 12:33 am

  TERKINI

Sindiket antarabangsa simpan dadah dalam sejadah

RAZARUDIN Husain (kanan) menunjukkan sejadah dan dadah yang dirampas dalam dua serbuan di Sungai Besi dan Cheras pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur hari ini. - FOTO/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taktik sindiket dadah antarabangsa yang menyeludup keluar dadah ke negara lain dalam bungkusan berisi peralatan keagamaan terbongkar selepas 13 individu ditahan polis di sekitar Lembah Klang pada Sabtu hingga Isnin lalu. 

Operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kuala Lumpur itu turut menyerbu makmal memproses dadah di sebuah kondominium di Cheras di sini. 

Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 12 warga tempatan dan seorang lelaki warga Taiwan berusia antara 18 hingga 35 tahun. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan mendapati sindiket yang bergerak aktif sejak November lalu dikesan menggunakan perkhidmatan kurier dengan menyorokkan dadah dalam kotak berisi sejadah untuk dihantar ke Indonesia. 

Katanya, selain Indonesia, sindiket tersebut dipercayai menyeludup keluar dadah ke Taiwan, New Zealand dan Korea Selatan. 

“Kegiatan mereka ini terbongkar selepas seorang daripada ahli sindiket ditahan ketika sedang menghantar barang kurier di Cheras selain menemukan lima kotak berisi methamphetamin seberat 4.12 kilogram. 

“Penahanan itu membawa kepada lima serbuan lain dengan rampasan keseluruhan dadah seberat 96.1 kilogram dianggarkan bernilai RM4.94 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini semalam. 

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya percaya lelaki warga Taiwan berusia 30 tahun antara yang dikenal pasti mendalangi sindiket ini.

Ujarnya, pemeriksaan lanjut mendapati warga Taiwan tersebut mempunyai rekod lampau di negara asalnya atas kesalahan mencuri dan cubaan membunuh.

“Selain itu, 10 individu yang ditahan juga pernah terlibat kes dadah, judi dan merusuh.

“Saringan air kencing mendapati 12 suspek positif dadah jenis ketamin dan methamphetamin,” katanya .

Tambah Razarudin, kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga Ahad ini bagi disiasat di Cbawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE