Pembekuan ais landa Gunung Kinabalu, pendaki diingatkan patuhi langkah keselamatan

Pembekuan ais landa Gunung Kinabalu, pendaki diingatkan patuhi langkah keselamatan

FENOMENA pembekuan ais merupakan kejadian semula jadi yang lazim berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu- UTUSAN/JULAIMIN KAMIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fenomena pembekuan ais direkodkan di kawasan Substesen Panalaban, Gunung KInabalu pada ketinggian kira-kira 3,272.7 meter, susulan penurunan suhu ketara sejak awal minggu ini.

Pihak Taman-Taman Sabah berkata, kejadian yang berlaku pada 16 April itu berpunca daripada keadaan cuaca kering serta tahap kelembapan udara yang rendah di kawasan Gunung Kinabalu.

Katanya, keadaan berkenaan menyebabkan suhu di kawasan altitud tinggi menurun secara mendadak, sekali gus mengakibatkan pembentukan ais pada permukaan tumbuhan serta persekitaran sekitar base camp Panalaban.

“Fenomena pembekuan ais ini merupakan kejadian semula jadi yang lazim berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu, khususnya ketika cuaca cerah, kering dan suhu menjunam pada waktu malam hingga awal pagi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sehubungan itu, semua pendaki, malim gunung, porter dan petugas yang berada di kawasan Panalaban dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh cuaca sejuk ini.

Antara langkah yang disarankan termasuk memakai pakaian bersesuaian bagi menghadapi suhu rendah, memastikan tubuh kekal terhidrat serta sentiasa mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak pengurusan.

Dalam pada itu, Taman-Taman Sabah memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan cuaca dan suhu di kawasan altitud tinggi dari semasa ke semasa.

“Pemantauan berterusan ini penting bagi memastikan tahap keselamatan pengunjung dan petugas sentiasa berada dalam keadaan terkawal,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN