‘Rekaan semata-mata untuk memalukan saya’ - Utusan Malaysia

‘Rekaan semata-mata untuk memalukan saya’

WAN AHMAD NIZAM WAN ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, 51, menafikan dakwaan mencabul isteri rakan baiknya sebagaimana laporan polis yang dibuat mangsa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Ahmad Nizam berkata, dakwaan yang dibuat pasangan suami isteri dari Taman Melawati, Ampang, Selangor itu hanya rekaan semata-mata untuk menjatuhkan reputasi dan mengaibkan dirinya.

Malah katanya, dia bersama isteri tidak pernah bermalam di rumah pasangan terbabit kerana mempunyai kediaman di Kuala Lumpur, apatah lagi untuk me­lakukan perkara tidak senonoh kepada isteri rakan baiknya.

Bagaimanapun, dia tidak pelik dengan laporan palsu tersebut kerana telah menerima ugutan awal daripada rakan baiknya yang berusia 50 tahun itu pada Ahad lalu, susulan kejadian dia dipukul lelaki berkenaan.

Wan Ahmad Nizam yang juga bekas Naib Ketua UMNO Kemaman berkata, lelaki itu berhutang RM200,000 dengannya dan hubungan persahabatan mereka renggang sejak September tahun lalu kerana kegagalan melunaskan hutang.

“Ahad lalu kira-kira pukul 4 petang, dia bersama isteri datang ke rumah saya di Geliga di sini dan katanya untuk berbincang tentang hutang tetapi tiba-tiba saya ditumbuk sebanyak dua kali di samping kepala serta badan dibaling dengan pasu bunga secara bertubi-tubi hingga saya tidak boleh bangun, sebelum dia berlalu pergi.

“Saya maklumkan padanya untuk melaporkan kejadian itu kepada polis dan dia mengugut saya agar tidak berbuat demikian atau dia akan membuat sesuatu yang boleh memalukan saya dan tiba-tiba keluar cerita saya mencabul isterinya,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad Nizam yang me­rupakan bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memenangi kerusi DUN Air Putih pada Pilihan Raya Umum 2004 selepas meraih 10,048 undi, menewaskan calon Pas, Ismail Harun.

Menurut Wan Ahmad Nizam, sehingga kini dia masih berdepan kesakitan akibat diserang suspek dan hasil pemeriksaan pakar mengesahkan dia mengalami patah tulang belakang.

Katanya, laporan polis mengenai kejadian pukul itu telah dibuat di Balai Polis Chukai dan pihaknya menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan lanjut mengenai dakwaan cabul.

Sementara itu Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik mengesahkan laporan kejadian pukul dan khianat membabitkan Wan Ahmad Nizam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek telah ditangkap di Ampang, Selangor kira-kira pukul 6 petang kelmarin (Jumaat), namun belum lagi direman dan kini dibenarkan jamin. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN