PETALING JAYA: Rasuah di negara ini boleh diibaratkan seperti penyakit kencing manis atau jenayah turun-temurun.
Ini kerana tidak kira berapa kerap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat operasi dan amaran namun jenayah sama tetap berlaku.
Lebih merisaukan apabila penjenayah tamak haloba itu didominisasi dalam kalangan penjawat awam. Mereka ini digaji untuk menjaga kebajikan rakyat namun yang berlaku sebaliknya.
Kes rasuah membimbangkan berdasarkan statistik SPRM diperoleh Utusan Malaysia dalam tempoh enam tahun sejak 2015 hingga 2020 merekodkan sebanyak 5,652 individu yang ditahan dengan 2,683 membabitkan penjawat awam diikuti 1,622 orang awam, 1,347 lagi lain-lain kategori termasuk pekerja swasta dan ahli-ahli politik.
Tangkapan tertinggi dalam kalangan penjawat awam pula membabitkan kumpulan pelaksana dengan rekod sebanyak 1,953 individu ditahan diikuti pengurusan dan profesional (664 individu) serta pengurusan tertinggi (66 individu).
Jenis kesalahan paling banyak dilaporkan terhadap SPRM adalah menerima rasuah apabila 2,638 kes dicatatkan dalam tempoh itu selain tuntutan palsu (1,243), memberi rasuah (1,131), menggunakan kedudukan (327), lain-lain kesalahan (214) dan pengubahan wang haram (99).
Dari kategori umur, 21 hingga 40 tahun menunjukkan kumpulan paling tinggi terlibat dengan rasuah apabila 2,961 individu ditahan diikuti 41 hingga 60 tahun (2,424) dan 60 tahun ke atas (253).
Sementara itu, sumber memberitahu Utusan Malaysia, meskipun operasi dan tangkapan besar-besaran SPRM dilakukan dari semasa ke semasa namun masalah ketirisan tersebut bagai tiada penghujung kerana mereka tidak serik.
“Kenapa isu rasuah dalam kalangan penjawat awam ini berlaku, adakah kerana hukuman sedia ada tidak cukup kuat sehingga mereka gelap mata bila dihidangkan dengan wang haram,” soalnya di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, sumber berkata, operasi dan tangkapan melibatkan penjawat awam khususnya kumpulan penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan terbaharu membabitkan anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah kerjasama dengan SPRM.
Jelas sumber, agensi terlibat dan SPRM saling berkongsi maklumat bagi memastikan aspek penyelewengan, salah laku dan salah guna kuasa yang menjurus kepada gejala rasuah dapat dibanteras.
“Dalam konteks ini, setiap agensi khususnya penjawat awam itu sendiri perlu memainkan peranan penting dalam melaporkan kepada SPRM jika mereka menerima sebarang bentuk rasuah dan menentang amalan itu supaya imej serta kredibiliti mereka bertambah baik.
“Ini kerana, bukan sahaja pemberi serta penerima sahaja bakal berdepan hukuman namun mereka yang didapati tidak melaporkan kegiatan rasuah di jabatan mereka juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.
“Selain itu, kita juga menanamkan di dalam minda masyarakat tidak semua penjawat awam tiada integriti sebaliknya hanya segelintir kecil sahaja. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” jelasnya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, pegawai dan anggota JPJ tidak serik meskipun jabatan itu pernah digempur SPRM kerana melindungi kegiatan lori membawa muatan melebihi had masih berlaku.
Ia berikutan seramai 44 individu terdiri daripada 32 pegawai JPJ ditahan SPRM menerusi Op Sukat di lima negeri.
Menurut sumber, kegiatan melibatkan pegawai JPJ pelbagai gred termasuk seorang pegawai kanan gred 48 itu dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan agar tiada tindakan diambil terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal.
Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Karim berkata, jenayah rasuah bagaikan menjadi budaya turun-temurun bertapak dari satu generasi ke generasi dalam kebanyakan agensi penguat kuasa.
Mengulas kepada Utusan Malaysia beliau berkata, ia berpunca daripada anggota-anggota baharu yang meniru salah laku dalam anggota lama atau orang atasan.
Menurut beliau, kelompangan dan kelemahan tersebut dilihat seperti `tiada jalan’ untuk diubati kerana sudah banyak pembaharuan atau formula dilaksanakan oleh kerajaan namun tiada hasil.
“Jelas dalam pengurusan harian di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang didedahkan SPRM yang menunjukkan ada segelintir kakitangannya mengeksploitasi kerja mereka demi keuntungan peribadi.
“Masalah ini sudah boleh umpama penyakit kencing manis yang menyerang penguat kuasa JPJ. Perkara ini tidak dapat diselamatkan dan perlu dipotong (dibuang anggota).
“Pegawai atasan yang dipertanggungjawab kepada anggota yang dikenakan tuduhan rasuah juga perlu dihukum kerana anak buah adalah tanggungjawab orang atasan,” kata beliau ketika dihubungi kelmarin.
Kata Jais, sekiranya terdapat hukuman ke atas ketua mana-mana anggota penguat kuasa yang dicekup terlibat rasuah, mungkin jenayah tersebut boleh dibanteras.
“Sudah semestinya sebagai ketua, dia tahu apa yang dilakukan anggota bawahannya dan perlu dipertanggungjawabkan.
“Sekarang ini anggota sahaja yang kena, ketua mereka terlepas dengan bagi alasan ‘saya tak tahu’, alasan itu tidak boleh pakai dah (tak munasabah),” katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat pula mencadangkan, kerajaan patut menyegerakan penguat kluasa termasuk JPJ yang bertugas di lapangan dipasang kamera badan.
“Ini bagi meningkatkan integriti, kecekapan dan ketelusan bukan sahaja buat penguat kuasa terbabit terbabit tetapi lebih besar kepada jabatan penguat kuasa itu sendiri,” jelasnya.
Menurut beliau, kamera badan tersebut juga boleh melindungi petugas daripada tohmahan yang mungkin dibuat orang awam yang tidak puas hati dengan sesuatu perkara.
“Perkara ini sudah dicadangkan oleh kerajaan sebelum ini dan ia satu langkah yang baik serta wajar dipercepatkan pelaksanaannya,” ujarnya. – UTUSAN










