PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menanggung kos perpindahan yang besar sekiranya membenarkan permohonan pertukaran anggotanya yang mencecah purata 1,200 orang setiap bulan tahun lalu.
Tanpa memberitahu kos yang ditanggung, jumlah itu melibatkan perbelanjaan perumahan, pengangkutan dan logistik termasuk ahli keluarga setiap anggota dan pegawai yang bertukar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, berdasarkan rekod, dalam tempoh tahun lalu sehingga kelmarin, sebanyak 25,053 permohonan pertukaran dibuat melibatkan cadangan, permohonan pertukaran dan rayuan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 14,563 permohonan pada 2020 manakala 10,490 diterima dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
“Selepas disemak, hanya 10,671 permohonan diluluskan tahun lalu manakala 3,892 tidak berjaya. Diikuti, awal Januari tahun ini sehingga kelmarin iaitu 5,927 pertukaran lulus selain 4,563 lagi ditolak.
“Lebih daripada 10 peratus daripada warga polis memohon untuk melakukan pertukaran dan jumlah yang perlu diproses untuk dipertimbangkan adalah sangat besar.
“Bukan itu sahaja, setiap pertukaran yang dibuat juga memerlukan kos yang tinggi sehingga menelan belanja ribuan ringgit dan ini antara sebab mengapa tidak semua permohonan dapat diluluskan,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman kelmarin.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, daripada jumlah permohonan hanya keutamaan permohonan pertukaran hanya diberikan dalam kes-kes kebajikan dan munasabah.
“Kita menghadapi masalah, bila ada kekosongan dalam PDRM, perjawatan itu tidak dapat diisi memandangkan ada yang mohon tidak mahu bertukar
“Beberapa cadangan penambahbaikan dasar permohonan pertukaran sedang diperincikan bagi memastikan setiap permohonan yang benar-benar mempunyai sebab kukuh,” jelasnya.
Kata beliau, isu pertukaran dan penempatan ini adalah terikat kepada keperluan strategik Pasukan dan Dasar Integrasi Nasional.
Yang mana, dedah beliau, berdasarkan kajian oleh pihaknya mendapati sebanyak lebih kurang 70 peratus orang yang berasal dari Sarawak bertugas dan bekerja di negeri itu diikuti Sabah (50 peratus) dan Kelantan (30 peratus).
“Dasar pengurusan yang sedia ada tidak begitu mencapai objektif kerana ramai yang tidak mengikut dasar yang ditetapkan.
Jadi, PDRM akan memperkasa penggunaan Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) bagi tujuan pengurusan penempatan.
“Tempoh permohonan melalui sistem itu berkemungkinan akan dihadkan dua atau tiga kali sahaja setahun. Justeru pihak pengurusan boleh menumpukan satu per satu permohonan,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam ucapan beliau sempena Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 berkata, peruntukan kewangan bagi menampung kos pertukaran adalah terhad dan justeru itu, faktor umur dan tempoh khidmat dijadikan syarat pertimbangan selain memperhalusi setiap permohonan serta membuat keputusan dengan adil. – UTUSAN










