KANGAR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu diberi peluang memerintah sehingga cukup penggal memandangkan tiada keperluan mendesak mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau menegaskan, pemerintahan PN perlu diberi cukup masa sehingga habis tempoh bagi membuktikan segala dasar yang dirancang dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat di negara ini.
Kata Setiausaha Agung Pas itu, kerajaan PN baru setahun memerintah dan perlu diberi peluang meneruskan dasar-dasar yang dirancang.
“Tidak ada guna dipercepatkan pilihan raya. Sesebuah kerajaan perlu diberi peluang untuk membuktikan segala dasar yang dirancang itu dilaksanakan.
“Macam kerajaan PN, baru setahun, perlu diberi peluang untuk meneruskan dasar-dasar. Malah, pilihan raya bukan sesuatu perkara yang mudah kerana melibatkan rakyat terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan dan taklimat Jawatan Kuasa Pengurusan Darurat Covid-19 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, PN perlu diberi ruang mentadbir hingga 2023 kerana usaha kerajaan untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 serta membela kehidupan masyarakat secara tuntas memerlukan masa dan perlu direkodkan.
Takiyuddin berkata, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa tempoh maksimum bagi sesuatu kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri adalah lima tahun.
“Lima tahun itu dikira daripada hari pertama persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Bila cukup tempoh lima tahun, kalau tidak dibubar, maka terbubar dengan sendirinya.
“Jadi terpulanglah kepada Perdana Menteri dalam tempoh tersebut hendak minta Yang di-Pertuan Agong bubar awal atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN










