Polis Marin patahkan cubaan seludup hampir satu tan ketum - Utusan Malaysia

Polis Marin patahkan cubaan seludup hampir satu tan ketum

PASUKAN Polis Marin Kuala Kedah merampas kira-kira 948 kilogram daun ketum bernilai RM94,800 dalam dua serbuan berbeza di sekitar Beseri dan Kuala Perlis, sejak semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pasukan Polis Marin Kuala Kedah merampas kira-kira 948 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM94,800 dalam dua serbuan berbeza di negeri ini sejak semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, rampasan pertama melibatkan 458 kilogram daun ketum bernilai RM45,800 di Ladang Harum Manis Semadong, Beseri, semalam.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, Unit Risikan Marin bersama pasukan risikan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem)  Kuala Perlis terserempak dengan sekumpulan lelaki yang melarikan diri dengan motosikal di celah pokok-pokok mangga harumanis semasa serbuan.

“Pemeriksaan di kawasan tersebut menemukan bungkusan guni putih yang berisi daun ketum dengan anggaran berat 548 kilogram. Semua barang rampasan kemudian di bawa ke Kompleks Aksem Chuping untuk pemeriksaan lanjut dan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

“Serbuan tersebut adalah atas maklumat mengenai aktiviti penyeludupan ketum di Kuala Perlis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, rampasan kedua melibatkan kira-kira 400 kilogram daun ketum bernilai RM40,000 di kawasan pesisir  pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis pada pukul 3.30 pagi hari ini.

Menurutnya, pihaknya yang bertindak atas maklumat orang ramai bersama Aksem Kuala Perlis telah membuat serbuan di kawasan itu.

“Setibanya di lokasi, anggota menemukan longgokan plastik hitam yang berisi daun hijau dipercayai ketum. Pemerhatian dilakukan di lokasi kira-kira sejam, namun tiada individu yang datang mengambil barangan tersebut.

“Barang rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut sebelum diserah kepada IPD Kangar,” ujarnya.

Tambah beliau, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya