PETALING JAYA: Pejuang tidak menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk PH Plus pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Penaja Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, namun kerjasama itu bukan menjurus kepada kepartian, tetapi fokus untuk menewaskan kerajaan pintu belakang yang sepatutnya tidak boleh menjadi pentadbir hari ini.
“Demi negara, kebaikan negara, kita tak ada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa, kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan bukan pilihan rakyat, pembentukan kuasa dengan membeli ahli Parlimen. Ini yang kita lawan.
“Dulu kita sanggup kerjasama untuk jatuhkan kleptokrat. Sekarang pun naratifnya masih sama. Rasuah bukan sahaja terbentuk dari segi konteks perniagaan, tetapi rasuah sendiri yang membentuk kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad yang berkemungkinan membentuk Pakatan Harapan (PH) Plus bersama Pejuang dan Muda di bawah pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada PRU nanti.
Menurut Khalid, kerjasama itu adalah bagi menarik pengaruh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih mempunyai pengikut sekali gus mampu menewaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bagainanapun jelas Marzuki, setakat ini tiada perbincangan mengenai perkara itu.
“Setakat ini tak ada perbincangan dan pandangan yang dilontarkan Pejuang, cuma sampai hari ini kita tidak bersama dengan PH. Kerana pada Pejuang yang paling utama adalah negara, kita bukan lawan untuk parti, tetapi adalah untuk kebaikan negara, kedudukan negara.
“Contohnya ahli Dewan Rakyat yang melompat parti, ini budaya yang harus dihentikan supaya tidak berlaku lagi,” katanya.
Marzuki berkata, Pejuang sehingga hari ini sudah mempunyai 20,000 keahlian sementara berikutan parti itu masih belum didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
“Parti belum didaftar, jadi kita tak boleh ambil keahlian. Cuma atas permintaan ramai, kita buka dulu keahlian sementara sebagai sokongan kepada kita. Sekarang kita sudah ada hampir 20,000 keahlian.
“Jadi semasa ROS menolak permohonan kita kerana sebab teknikal, kita dah kemukakan rayuan pada dua hari selepas daripada itu. Tetapi sehingga hari ini tiada jawapan daripada pihak menteri mengenai permohonan tersebut, sebab itu kita failkan di mahkamah.
“Kita dah lengkapkan kesemuanya, jadi tidak ada alasan mengapa menteri perlu tolak permohonan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











