KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sensitif khususnya di bangunan kedutaan Korea Utara di Jalan Binjai di sini susulan kemelut diplomatik antara Malaysia dan negara itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati melibatkan Korea Utara memandangkan banyak kejadian mengaibkan dengan negara tersebut.
Malah, kata beliau, apa yang berlaku bukannya kerana Malaysia memusuhi mereka sebaliknya negara itu sendiri yang memutuskan hubungan diplomatik dengan pihak kita.
“Saya telah mengarahkan Pengarah dan Ketua Polis negeri untuk meningkatkan kesediaan dalam memantau akan berlaku perkara tidak baik.
“Kita sentiasa memantau perkembangan berkaitan kemelut yang berlaku ini sehingga keadaan benar-benar reda,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Utusan Malaysia dalam laporan semalam mendedahkan kemelut diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara berpunca daripada individu bernama Mun Chol-myong ‘membongkar’ kepada isu kelemahan sistem keselamatan program MM2H.
Chol-myong yang diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram adalah dipercayai salah seorang peserta MM2H.
Chol-myong bersama isteri dan anak perempuannya dipercayai tinggal di negara ini sejak program MM2H bermula 2002.
Meskipun program MM2H adalah suatu inisiatif kerajaan yang dilihat mampu menjana pendapatan.
Namun, timbul persoalan adakah latar belakang setiap pemohon program itu benar-benar ‘bersih’ atau diteliti atau boleh disalah guna individu tertentu luar sebagai ‘tiket’ menjadi perisik bagi melancarkan sesuatu agenda.
Ahad lalu, kesemua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara pulang ke negara mereka susulan keputusan Pyongyang mengumumkan pihaknya menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada Jumaat lalu.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram. – UTUSAN ONLINE










