MELAKA: Kepemimpinan Pas negeri menyatakan pendirian tetap berdiri teguh atas kesepakatan bersama UMNO di bawah kerjasama Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
Perkara tersebut disuarakan sewaktu mengadakan pertemuan tertutup dengan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dihadiri kira-kira 40 pemimpin tertinggi Pas Melaka di Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh di sini, semalam.
Pertemuan hampir dua jam tersebut turut dihadiri Pesuruhjaya PAS negeri, Kamarudin Sidek dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber dalaman memaklumkan, Pas Melaka menyatakan demikian kerana berpendapat, untuk menang dalam PRU-15 khususnya di negeri ini, parti itu perlu bersama UMNO.
Katanya, Ini terbukti melalui kerjasama MN juga, Barisan Nasional (BN) memenangi tujuh pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini.
“Pas tidak mahu mengulangi kesilapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-14) yang lalu di mana kita kalah di semua 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima Parlimen. Lebih malangnya lagi kita kehilangan wang deposit dengan jumlah yang besar.
“Justeru, kita tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama pada PRU-14. Atas penilaian terperinci yang dibuat hanya dengan UMNO Pas boleh menang PRU-15 sama ada bertanding di DUN atau Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang turut mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Seri Bendahara di sini, semalam.
Sulaiman berkata, pertemuan kira-kira 40 minit itu membuktikan keakraban pemimpin politik di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Saya berbesar hati menerima kunjung hormat daripada Presiden Pas di kediaman Ketua Menteri di Seri Bendahara.
“Banyak yang kami bualkan dalam pertemuan cukup santai ini. Terima kasih sekali lagi kepada Abdul Hadi di atas pertemuan yang cukup bermakna pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, sumber berkenaan menambah, pucuk tertinggi Pas harus melihat demografi politik di Melaka dan Pantai Timur adalah amat jauh berbeza.
Jelasnya, Bersatu tidak mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh jika mahu dibandingkan dengan UMNO, selain parti serpihan itu tidak mempunyai banyak cawangan di peringkat DUN melainkan di Paya Rumput, Telok Mas dan Masjid Tanah.
“Bagi menghadapi PRU-15 nanti, Pas negeri hanya akan menyenaraikan calon-calon boleh menang, mereka yang berkredibiliti, mempunyai kelayakan akademik dan mesti ada penerimaan semua kaum sama ada bertanding di DUN atau Parlimen,” ujarnya. – UTUSAN










