Nelayan terjejas angkara pukat tunda  - Utusan Malaysia

Nelayan terjejas angkara pukat tunda 

PENDAPATAN lebih 500 nelayan di Pulau Betong dan Gertak Sanggul, Pulau Pinang terjejas berikutan aktiviti pencerobohan bot pukat tunda yang didakwa berlaku pada waktu malam berhampiran perairan Pulau Kendi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Hasil pendapatan lebih 500 nelayan di Pulau Betong dan Gertak Sanggul di sini terjejas berikutan aktiviti pencerobohan bot pukat tunda yang didakwa ‘bermaharajalela’ pada waktu malam berhampiran perairan Pulau Kendi di sini. 

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, masalah yang berlarutan sejak 40 tahun lalu itu dilaporkan masih berlaku di sekitar kawasan tersebut dengan jarak antara tiga hingga empat batu nautika dari pantai. 

Beliau mendakwa, aduan telah dibuat kepada pihak berkaitan namun aktiviti tersebut masih berlaku. 

“Bot pukat tunda dikatakan telah menceroboh zon A secara berkumpulan. Mereka datang dari pangkalan Teluk Bahang dan Batu Maung tanpa memasang lampu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. 

“Berikutan kejadian itu, pendapatan nelayan di sini telah merosot lebih 50 peratus kerana ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka telah berkurangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau memberitahu, nelayan bot pukat tunda itu juga dikatakan akan berlabuh dan berehat di pulau berkenaan pada waktu pagi sebelum meneruskan aktiviti mereka keesokan hari. 

“Nelayan-nelayan di sini turut mengalami kerugian disebabkan jaring mereka rosak akibat diancam lumpur, siput duri, sisa kayu dan besi serta pelbagai bahan buangan selepas bot pukat tunda tersebut beroperasi,” jelasnya. 

Mohideen berkata, sebuah bot pukat tunda berkeupayaan memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus benih anak ikan  termasuk beberapa jenis ikan berkualiti tinggi seperti senangin, bawal, tenggiri termasuk sotong. 

“CAP kesal walaupun Akta Perikanan 1985 telah digubal bagi mengawal aktiviti bot pukat tunda daripada melakukan pencerobohan, namun akibat kelemahan penguatkuasaan akta tersebut tidak memberi kesan dalam menangani masalah tersebut. 

“Justeru, CAP menggesa pihak kerajaan mengharamkan segera penggunaan pukat tunda di negara ini agar nasib nelayan pantai terbela dan sumber perikanan tidak mengalami kepupusan pada masa akan datang,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN