GEORGETOWN: “Saya sendiri terkejut”.
Itu reaksi Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff apabila ditanya mengenai desas-desus pelantikan beliau sebagai pengganti Tun Dr. Abdul Rahman Abbas sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan, Mei depan.
Mohd. Yussof berkata, beliau tidak pernah dimaklumkan oleh sesiapa mengenai cadangan kerajaan negeri yang mahu melantiknya sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.
“Saya pun baca berita berkenaan perkara ini, ada juga rakan-rakan bertanya tetapi saya tidak dapat berikan apa-apa maklumat kerana saya sendiri tidak tahu mengenainya.
“Tidak manis jika kita buat spekulasi mengenai perkara ini, kita serah kepada kerajaan negeri untuk buat keputusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang dikatakan tidak bersetuju cadangan pelantikan bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan, Mei depan.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, Kerajaan Persekutuan mahu menggantikan Abdul Rahman yang kini berusia 83 tahun yang akan tamat pelantikannya pada April ini selepas dilantik ke jawatan itu sejak tujuh penggal lalu bermula 1 Mei 2001.
Sumber itu berkata, Kon Yeow dikatakan membawa nama Mohd. Yussof sebagai calon bagi pihak kerajaan negeri.
Mohd. Yussof, 91, mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan dan politik di negeri ini serta menjadi pengasas beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang seperti Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gabungan), Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang dan lain-lain.
Selain itu, beliau juga merupakan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Qaryah-Qaryah Masjid Negeri Pulau Pinang sejak 1999.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau bersedia menjawat sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan sekiranya dilantik, Mohd. Yussof berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.Mohd. Yussof bakal Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang?
“Sukar saya nak ulas sebab saya fikir elok tanya isu ini kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow kerana dia lebih tahu siapa yang akan dilantik nanti,” katanya.










