Main di ‘kolam’ secara sembunyi lebih teruk - Utusan Malaysia

Main di ‘kolam’ secara sembunyi lebih teruk

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mana-mana parti yang bermain di ‘kolam’ secara sembunyi-sembunyi tanpa ada ikatan yang sah disifatkan lebih teruk berbanding parti yang bermain ‘dua kolam’ namun mempunyai ikatan sah.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, jika Pas ‘bermain dua kolam’ sekali pun, ia tidak menjadi masalah kerana kedua-dua kolam terbabit sekurang-kurangnya diikat secara sah oleh parti.

Walaupun tidak menyebut nama parti, ahli Parlimen Bachok itu dikatakan merujuk kepada khabar angin wujudnya usaha penjajaran politik baharu membabitkan UMNO dengan Pakatan Harapan (PH).

Lebih-lebih lagi kelmarin, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengeluarkan kenyataan membayangkan kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Nik Mohamad Abduh, Pas ketika ini mengikat kerjasama dengan UMNO dalam satu kolam menerusi perjanjian sah iaitu Muafakat Nasional (MN) di samping turut terikat secara sah dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).

“Ada pun dua kolam, jika ada perjanjian sah, maka tidak salah. Yang tidak betul apabila mana-mana parti pergi main di kolam yang dia tidak ikat pun.

“Misalnya yang pembangkang pergi main di kolam kerajaan, yang kerajaan pergi main di kolam dengan pembangkang, itu dipanggil kolam tidak sah, dan itu lebih buruk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Nik Mohamad Abduh berkata, meskipun UMNO menyebut tidak mempunyai ikatan dengan Bersatu, namun hubungan rasmi ke­dua-dua parti masih wujud melalui pembentukan kerajaan PN.

“Ia sehingga pemimpin UMNO dilantik sebagai menteri, ertinya hubungan yang dibina dengan kerajaan PN itu adalah betul,” katanya.

Tambah beliau, keputusan UMNO baru-baru ini yang menolak kerjasama dengan Bersatu wajar dihormati Pas sebagai rakan sekutu, namun titik penyelesaian terhadap ‘perbezaan’ itu perlu segera diselesaikan sebelum PRU-15.

Ditanya apa keputusan Pas jika akhirnya terpaksa membuat pilihan antara UMNO dan Bersatu, Nik Mohamad Abduh berkata, tiada jawapan khusus untuk persoalan itu setakat ini.

“Apa yang bakal berlaku pada PRU-15 nanti, adalah atas usaha pimpinan parti kita pada hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN