Legasi Tun Razak kekal di Pekan? - Utusan Malaysia

Legasi Tun Razak kekal di Pekan?

MOHAMAD NIZAR NAJIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Datuk Mohd. Nizar Najib antara nama yang disebut paling sesuai menggantikan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak jika Ahli Parlimen Pekan itu tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mohd. Nizar yang kini berusia 43 tahun adalah Ketua Pemuda UMNO Pekan setelah menang jawatan berkenaan tanpa bertanding pada Jun 2018.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Julai tahun lalu, Nizar antara nama yang disebut-sebut bertanding di situ sebelum Mohd. Sharim Md. Zain dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan.

Sekiranya dicalonkan, Mohd. Nizar yang merupakan anak sulung Najib bersama bekas isteri, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar muncul sebagai generasi ketiga daripada keluarganya bertanding di kerusi berkenaan.

Najib sebelum ini menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga Perdana Menteri kedua sebagai wakil rakyat di Pekan.

Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, bagi mengekalkan momentum, Mohd. Nizar adalah calon terbaik memandangkan pengaruh Najib masih mampu memberikan kesan besar di Pekan.

Katanya, jika Nizar dipilih sebagai calon ia sekali gus meneruskan legasi Tun Abdul Razak.

“Soal pengalaman pasti menjadi persoalan. Namun dengan pengalaman Mohd. Nizar di bahagian Pekan, saya rasa tidak ada masalah untuknya menguruskan soal ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Ariff Asyrul berkata, politik Malaysia memang dikenali dengan kumpulan elit politik yang meraih kuasa, pengaruh dan kedudukan menerusi legasi kekeluargaan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Najib menang dengan majoriti 24,859 undi selepas memperoleh 43,854 undi dalam pertandingan empat penjuru di kerusi Parlimen Pekan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN