PUTRAJAYA: Perlu melalui tapisan ketat selain tidak memenuhi kriteria serta syarat adalah antara faktor hanya 13,940 daripada 75,269 permohonan untuk menjadi rakyat negara ini diluluskan.
Ia sekali gus menepis dakwaan pihak tertentu bahawa ramai warga asing mendapat kerakyatan dengan mudah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, kerajaan tidak sewenang-wenangnya meluluskan permohonan kewarganegaraan, apatah lagi menganugerahkan keistimewaan itu kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) atau pelarian.
Menurut beliau, daripada 13,940 permohonan kewarganegaraan yang diluluskan itu, sebanyak 3,642 orang dari permohonan melibatkan individu berumur di bawah 21 tahun (kategori permohonan bagi kanak-kanak).
“Proses permohonan warganegara melalui proses ketat. Ini kerana taraf kewarganegaraan adalah satu anugerah tertinggi diberi kerajaan Malaysia kepada mana-mana individu untuk jadi warganegara.
“Antara perkara ketat itu adalah kelayakan dokumentasi yang perlu dikemukakan kepada JPN dan perlu memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“JPN akan meneliti dan menyemak dokumen yang diperlukan termasuk membuat semakan dalam sistem JPN dan membuat tapisan untuk memastikan mereka adalah layak memohon. Selepas itu pertimbangan akan dibawa ke KDN,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, JPN turut merekodkan sejumlah 218,540 individu melepaskan kewarganegaraan Malaysia sejak tahun 1957 hingga 31 Disember tahun lalu.
Walau bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti punca mereka mahu berbuat demikian, namun lazimnya pemohon ingin berhijrah kerana telah memperoleh kewarganegaraan negara lain.
Beliau menjelaskan, permohonan pelepasan kewarganegaraan Malaysia diperuntukkan di bawah Perkara 23 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan syarat-syarat pemohon mesti berumur 21 tahun atau lebih, sempurna akal dan telah menjadi warganegara negara lain.
Katanya, lima kewarganegaraan negara lain tertinggi yang diperoleh pemohon bagi pelepasan kewarganegaraan Malaysia iaitu Singapura (187,227); Australia (5,708); India (3,846); China (3,114) dan Brunei (1,730).
“Kerajaan tidak menghalang jika ada bekas warganegara Malaysia yang pernah melepaskan kewarganegaraan ingin memohon untuk menjadi warganegara Malaysia semula.
“Lazimnya individu bukan warganegara yang ingin memohon semula kewarganegaraan Malaysia boleh mengemukakan permohonan untuk penaturalisasian di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dan perlu memenuhi syarat-syarat,” katanya.
Menurut Ruslin, antara syarat itu ialah berumur 21 tahun ke atas pada tarikh permohonan, telah bermastautin di Malaysia untuk tempoh melebihi 12 tahun dan berniat untuk berbuat demikian secara tetap (bertaraf Pemastautin Tetap Malaysia), berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan bahasa Melayu yang memadai.
“JPN berperanan untuk menerima dan memproses permohonan daripada pemohon, namun bidang kuasa untuk menimbang dan membuat keputusan terhadap permohonan adalah di bawah KDN,” katanya. -UTUSAN










