PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik boleh diadakan sekiranya keputusan mahkamah mendapati peletakan jawatan dan sumpah setia penyandangnya, Hassan A. Gani Pg. Amir adalah sah.
Jika mahkamah bersetuju mengguna pakai dokumen aku janji dan video memaparkan perakuan Hassan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh dimaklumkan bahawa kerusi DUN Sebatik telah kosong dan membuka jalan kepada PRK.
Peguam, Mohd. Haniff Khatri Abdulla berkata, sekalipun Speaker DUN Sabah menolak peletakan jawatan Hassan dan perkara itu dibawa ke mahkamah dan memihak kepada Warisan, tiada lain cari lain bagi mengelakkan pilihan raya kecil di negeri itu.
“Ini tertakluk kepada Sebatik, kalau dia kata keputusan itu salah, maka dia kena cabar sendiri di mahkamah untuk memperoleh perintah bagi menghalang PKR.
“Pun begitu, mahkamah akan melihat adakah mahkamah menerima bukti ditampilkan dari segi undang-undang iaitu Akta Keterangan bahawa audio menjadi bukti dan bagaimana Hassan boleh tunjukkan kononnya beliau boleh ‘dipaksa’ (untuk tandatangan dan bersumpah).
“Mahkamah juga perlu membuat keputusan mengatakan beliau dipaksa menandatangani dan bersumpah. Mahkamah juga perlu mempertimbangkan bolehkah rakyat Malaysia semata-mata mahu menjadi calon memberikan aku janji palsu tanpa berniat melakukannya?,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Terdahulu, satu klip video tular di media sosial memaparkan Hassan bersumpah setia kepada Warisan dan akan menandatangani surat peletakan jawatan sekiranya dia membelot dan menyertai parti lain.

Bagi penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Lee Kuok Tiung, Speaker DUN Sabah boleh menolak surat peletakan jawatan tersebut, menangguhkannya atau tidak perlu berbuat demikian kerana tiada peruntukan dalam undang-undang menyatakan lompat parti perlu melepaskan jawatan.
“Perjanjian ini (ikrar) adalah di antara calon dengan parti dan saya melihat bawah tort (kesalahan sivil) sahaja. Terpulang kepada bagaimana peguam Warisan berhujah dengan pihak lawan di mahkamah.
“Dalam Perlembagaan Negeri Sabah pun tiada klausa menyatakan jika lompat parti perlu letak jawatan. Apa yang dilakukan Shafie boleh diterjemahkan sebagai ugutan atau amaran kepada mana-mana ADUN Warisan yang cuba melompat parti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata: “Kita serahkan kepada Speaker DUN Sabah. Mungkin kita tidak nampak ia memihak kepada Warisan kerana speaker adalah lantikan GRS, tetapi kita akan teruskan dan mencabar keputusan di mahkamah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










