PERMATANG PAUH: Pelaksanaan Skim Latihan Pengurusan Rumah Tangga yang dirancang sejak tahun lepas oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) dijangka menjadi kenyataan pertengahan tahun ini.
Pengerusi MPBPP, Datuk Shabudin Yahaya berkata, ketika ini perancangannya masih di peringkat pertengahan apabila Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini yang dilantik sebagai agensi pelaksana menjalin kerjasama baharu dengan pihak Yayasan Terengganu (YT).
“Kerjasama itu ialah dari segi penyediaan modul yang berkaitan untuk skim berkenaan bagi siri latihan yang dijangka mengambil masa antara enam bulan hingga setahun itu.
“Jika tiada aral, pengambilan pertama iaitu seramai 60 peserta mungkin akan dibuat seawal tiga bulan lagi dan mereka yang berjaya menamatkan kursus ini akan diberikan sijil oleh pihak UiTM,” katanya.
Shabudin ditemui selepas merasmikan Sesi Dialog Usahawan Bumiputera Pulau Pinang bersama MPBPP hari ini yang turut dihadiri oleh lebih 400 usahawan di Hotel The Lights, Seberang Jaya di sini hari ini.
Hadir sama tiga Pengerusi Jawatankuasa Focus Group iaitu Dr. Afif Bahardin (Bahagian Pembangunan Ekonomi, Industri Bumiputera dan Sumber Baru), Zolkifly Md. Lazim (Keusahawanan, Ekuiti dan Koperasi) serta Zulkifli Ibrahim yang mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Pertanian dan Industri Pengeluaran Makanan dan Keselamatan Rangkaian Makanan.
Mengulas lanjut mengenai Skim Latihan Pengurusan Rumah Tangga itu, kata Shabudin, keutamaan akan diberikan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam usaha untuk menjamin keupayaan pelatih berkenaan selepas ini.
“Sekurang-kurangnya apabila pelatih tersebut telah bekerja dan mempunyai majikan sendiri, dia tahu asas Bahasa Inggeris dan sebagainya,” ujar beliau.
Shabudin berkata, pihaknya juga berhasrat membentuk sebuah syarikat khas dengan kerjasama UiTM dalam memasarkan tenaga kerja ini pada masa depan.
“Dengan pendapatan yang tidak kurang daripada RM2,000, mereka juga akan menerima potongan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan sebagainya sekaligus membuktikan industri pembantu rumah tempatan atau pengurusan rumah tangga ini tidak boleh lagi dipandang remeh kerana rata-rata pekerja adalah terlatih dan berkemahiran,” katanya.- UTUSAN ONLINE










