PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam jatuh setelah naik drastik sehari sebelumnya.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 242 individu diberkas semalam berbanding 451 individu dicekup kelmarin dan 269 individu ditahan pada Isnin lalu.
“Daripada jumlah itu, 240 dikompaun manakala baki dua lagi direman dengan kes tertinggi ialah gagal sedia alat rekod butiran diri sebanyak 88,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Diikuti tiada pelitup muka (66), tidak patuh jarak fizikal (46), rentas kawasan tanpa izin (33), aktiviti pusat hiburan (enam), premis dibuka lebih masa (dua) dan ingkar arahan PKPD (satu).
Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 70,009 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,623 pasukan di seluruh negara.
Ismail Sabri menambah, seramai 16,195 anggota itu memantau sebanyak 6,055 restoran, 4,706 pasar raya, 4,340 penjaja, 2,960 bank, 2,453 kilang selain 1,090 buah pejabat kerajaan.
Juga 18,660 tempat riadah, 233 rumah ibadah, 128 pasar awam serta 3,424 terminal pengangkutan darat, 1,784 terminal pengangkutan air dan 1,155 terminal pengangkutan udara.
Seramai 26 pendatang asing tanpa izin juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung penularan wabak Covid-19.
“Empat kenderaan darat dan sebuah bot dirampas selain 86 buah bot atau kapal dicurigai dikesan berdekatan perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.
Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 264 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 47 dilaksanakan polis.
Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 88 operasi sanitasi awam juga dilakukan di negara ini semalam meliputi 28 zon merah, lapan zon jingga, sembilan zon kuning dan tiga zon hijau.
Ia kata beliau, melibatkan penugasan seramai 387 anggota bomba selain 210 anggota pihak berkuasa tempatan dan turut dibantu dengan penggunaan sebanyak 72 buah jentera bomba.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 619 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 6,955 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 76 buah hotel serta 10 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.
Seramai 1,010 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 133,329 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 570 peruncit, 155 pemborong dan 31 pengilang.
Penguat kuasa kementerian tersebut kata Ismail Sabri, juga melakukan sejumlah 2,107 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan dua premis diberi nasihat dan tujuh lagi dikompaun. – UTUSAN ONLINE










