Jerebu di Selangor sejak tiga minggu lalu - Utusan Malaysia

Jerebu di Selangor sejak tiga minggu lalu

KEADAAN jerebu di beberapa kawasan semakin teruk pada pukul 5 petang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Fenomena jerebu mula melanda empat kawasan di sekitar Selangor dengan penduduk di Kampung Johan Setia mendakwa kejadian itu bermula sejak tiga minggu lalu sehingga menyukarkan kehidupan seharian penduduk kawasan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tahap penglihatan mula terhad di kira-kira satu kilometer di kawasan tersebut diiringi bau asap yang kuat.

Seorang peniaga, Abdul Kadir Yusof, 61, situasi tersebut menyebabkannya terpaksa menutup semua tingkap rumah sejak tiga hari lalu bagi mengelakkan sebarang serpihan zarah asap memasuki ruang rumahnya.

“Memang perit apabila terpaksa melalui lagi ancaman jerebu setiap tahun dengan bau asap dari kebakaran terbuka amat dirasai pada awal pagi dan menjelang malam.

“Situasi itu menimbulkan perasaan kurang senang bukan sahaja kepada saya malah penduduk sekeliling. Sudah hendak berdepan pandemik Covid-19, sekarang pula ‘bertempur’ dengan jerebu pula,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Jamhuri Busro, 63, mendakwa, dia sering kali melihat kepulan asap di sekitar Jalan Kebun Baru Batu 9 sejak minggu lalu.

“Saya juga pernah ternampak dengan sebuah kenderaan bomba yang menuju ke jalan tersebut. Pernah juga saya berasa sesak nafas kerana menghidu asap tetapi tidak menjejaskan kesihatan.

“Saya telah tinggal di kawasan ini sejak 15 tahun dan sebagai penduduk tidak tahu siapa individu yang melakukannya dan terpaksa menanggungnya setiap tahun,” katanya.

Empat Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini khususnya di daerah ini mencatat paras tidak sihat susulan kejadian pembakaran terbuka yang berlaku di Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan di sini.

Sehingga pukul 3 petang ini, Johan Setia Klang mencatat IPU tinggi iaitu pada paras tidak sihat iaitu 188 diikuti Banting (166); Petaling Jaya (137) dan Klang 107. Namun, Kuala Selangor dan Shah Alam mencatat IPU sederhana iaitu masing-masing pada paras 69 dan 95.

Turut mencapai paras IPU tidak sihat ialah di Rompin, Pahang iaitu 120 dan Cheras, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 105.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengesan 16 titik panas dan menganggarkan kawasan terbakar ialah 26 hektar.

Menurutnya, hasil siasatan mengesyaki kebakaran berpunca disebabkan aktiviti pembakaran terbuka di kawasan teroka tanpa kebenaran dan tanah beri milik bersempadan dengan hutan simpan.

“Malah, keadaan cuaca yang sangat panas dan berangin memburukkan lagi keadaan sehingga menyebabkan kebakaran merebak dengan lebih luas.

“Operasi pemadaman bersepadu digerakkan bermula semalam dan menjangkakan tempoh kebakaran dipadamkan kira-kira empat hingga enam minggu dengan penglibatan 130 anggota daripada pelbagai agensi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya