SUNGAI GOLOK (THAILAND): Cubaan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan untuk menghantar 200,000 pil kuda ke negara jiran berjaya dipatahkan selepas seorang lelaki ditahan di Jalan Tha Sai, Mukim Pase Mas di sini, kelmarin.
Suspek berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 7 malam semasa sedang menunggang motosikal di laluan berkenaan.
Jurucakap Unit Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah Narathiwat berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 200,000 pil kuda yang dibungkus dalam beberapa paket dan disimpan di dalam guni baja.
Katanya, soal siasat mendapati suspek mengaku sedang dalam perjalanan untuk menyerahkan dadah berkenaan kepada individu lain sebelum diseludup ke negara jiran.
“Semakan mendapati suspek adalah sebahagian daripada rangkaian penyeludupan dadah rentas sempadan yang sama dengan orang kanan sindiket ditahan Jumaat lalu.
“Suspek kini berdepan pertuduhan memiliki untuk menjual narkotik kategori 1, terlibat dalam perdagangan dadah dan menyebabkan pengedaran bahan terlarang dalam kalangan penduduk serta menjejaskan keselamatan awam dan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menumpaskan keseluruhan rangkaian penyeludupan dadah berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket di negara jiran.
Jurucakap itu berkata, kejayaan itu juga adalah hasil siasatan lanjut terhadap ‘orang kanan’ sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan yang ditahan bersama 36,000 biji pil kuda, Jumaat lalu. UTUSAN










