Ismail Sabri: Anwar cakap saja lebih - Utusan Malaysia

Ismail Sabri: Anwar cakap saja lebih

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Da­tuk Seri Anwar Ibrahim men­canang kepada umum ko­nonnya sudah membuat per­bincangan tidak rasmi dengan pemimpin UMNO, hanya satu strategi untuk menanam rasa curiga dalam kalangan ahli dan pemimpin parti itu sekali gus mahu menggugat kesatuan orang Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memang menjadi sikap Ketua Pembangkang itu sering ‘call the bluff’ dengan menghebohkan satu-satu strategi peribadinya, namun sehingga kini tiada satu pun hebahan yang dikeluarkannya betul dan tepat.

Beliau yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, dalam konteks kenyataan terbaharu Anwar yang mendakwa ada perbinca­ngan dengan UMNO, keadaan sebaliknya berlaku apabila dalam sidang akhbar pada 16 Mac lalu, beliau langsung tidak berani mendedahkan sebarang nama.

Sebaliknya beliau menjelaskan, Anwar sekadar mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas yang tidak lain bertujuan menimbulkan rasa curiga sesama pemimpin UMNO.

“Anwar memang sentiasa keluarkan kenyataan, tapi setakat hari ini, satu pun tak betul apa yang dia keluarkan. Dia kata dia ada nombor SD (akuan bersumpah), tapi apabila Yang di-Pertuan Agong minta SD, satu SD pun dia tiada. Tapi dia kata dia ada nombor, campur-campur termasuk Sabah, Sarawak, agaknya dia ada 180. Semua masuk dalam penyokong dia. Jadi beberapa kali dah dia macam orang panggil call the bluff.

“Dia akan umum dengan sa­ngat yakin, tapi akhirnya tiada apa-apa. Baru-baru ini sebelum sidang media, dia umumkan nama individu dalam UMNO, Presiden kita, bekas Presiden kita berbincang dengan dia. Semua orang tunggu dalam sidang media sehari esoknya, kalau-kalau dia nak sebut nama.

“Tiba-tiba dalam sidang media itu, dia bukan sahaja tak sebut nama, malah akhir sekali dia hanya cakap, “Saya tak tolak kemungkinan.” Itu sahaja. Tak boleh nak dikaitkan. Jadi sebab itu saya katakan, kenya­taan Anwar ini, setakat hari ini satu pun tiada yang betul lagi,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia pada Khamis lalu.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bera itu menegaskan bahawa UMNO masih berpegang kepada prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR dan DAP, malah keputusan itu tidak berganjak sejak dimuktamadkan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Malah katanya, pendirian yang sama turut dipersetujui dalam setiap mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

“MT dah buat keputusan, kalau tak silap saya, masa Perhimpunan Agung 2019, dah pun buat keputusan bahawa kita tak akan bekerjasama dengan PKR, Anwar Ibrahim dan DAP. No DAP, no Anwar. Itu keputusan kita. Malah berkali-kali dalam mesyuarat MT, itulah keputusan kita. Walaupun tiga, empat kali, kita tetap bincang yang sama, no Anwar, no DAP,” katanya.

Justeru, beliau berkata, masyarakat tidak harus mengambil serius kenyataan Anwar, kerana itu hanyalah strategi politik pembangkang untuk mengganggu UMNO serta Muafakat Nasional, dengan cara menanam rasa curiga sesama ahli dalam blok konservatif itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN