Dilatih jujur rahsia ahli Parlimen DAP tak 'lari' - Utusan Malaysia

Dilatih jujur rahsia ahli Parlimen DAP tak ‘lari’

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA hampir semua parti politik mengalami keadaan dikhianati wakil rakyatnya yang melompat atau lari sehingga ramai memilih menyertai parti kerajaan, DAP sebaliknya terus kukuh dengan kesetiaan ahli Parlimennya.

Dilatih jujur, itu antara sebab utama sukar untuk kita mendengar wakil rakyat terutama ahli Parlimen DAP melompat ke parti lain.

Kejujuran dalam perjuangan dan menggalas matlamat perjuangan sehingga berjaya, menjadi kunci kesetiaan pemimpin mereka kepada parti dan ketua.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, selain itu, sikap mesra rakyat yang jelas kelihatan dalam mana-mana program bersama rakyat, menjadikan pemimpin DAP disenangi, menunjukkan mereka benar-benar memberikan fokus kepada parti dan khidmat untuk rakyat.

Malah tapisan yang ketat semasa mahu dipilih sebagai calon yang mewakili parti itu dalam pilihan raya menyebabkan mereka tidak mudah lari setelah menjadi wakil rakyat.

“Pemimpin DAP dilatih makna sebenar kesetiaan kepada parti dan pemimpin.

“Apa yang penting di sini ialah imej pimpinan tinggi parti yang tidak meminta-minta jawatan meskipun lama dalam politik dan parti seperti Lim Kit Siang.

“Mana ada pimpinan lain seperti dia. Parti ketika menang bahkan menjadi tukang belakang kerajaan tapi dia (Kit Siang) langsung tak sebut jawatan atau ambil gelaran, jadi imej ini yang dominan,” katanya.

Begitupun, di Perak dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP bertindak meninggalkan parti itu iaitu ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong bersama dengan ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam.

Choo King menjadi wakil rakyat Bebas manakala Sivasubramaniam menyertai Gerakan.

Menjawab tindakan dua ADUN itu, Abdul Aziz berkata, mereka bukan ahli veteran.

“Mereka masuk sertai DAP selepas menang tahun 2008 (Kerajaan Perpaduan di Perak). Mereka mahu jawatan seperti Exco yang parti tidak mampu beri,” katanya.

Begitupun, jika mahu disebut soal lompat atau lari sebenarnya ada berlaku dalam DAP bahkan pada 1970-an dan seterusnya seperti Datuk Yap Pian Hon dan Tan Sri Lee Lam Thye.

“Tetapi imej yang ada pada tokoh seperti Kit Siang, mendiang Karpal Singh dan Lim Guan Eng yang lekat pada minda umum,” kata pemimpin DAP tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×