Beri masa kepada SPR - Takiyuddin - Utusan Malaysia

Beri masa kepada SPR – Takiyuddin

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diberikan masa untuk melengkapkan persediaan bagi melaksanakan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, SPR perlu melakukan pelbagai prosedur dalam urusan tersebut termasuk melibatkan urusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Bukan mudah pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dilaksanakan kerana banyak perkara kena diambil kira.

“Antara masalah dihadapi SPR ialah alamat (pengundi) dah selesai (atau) belum, itu kena tanya JPN, selagi tak selesai alamat lengkap takut ada yang tidak berdaftar dan tidak boleh mengundi.

“Berdasarkan alamat dalam kad pengenalan, SPR akan menentukan di mana dia (pengundi) akan mengundi, Dewan Undangan Negeri (DUN) mana, parlimen mana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Malaysia Prihatin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang di sini, hari ini.

Turur hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Khamis lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh memberitahu, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Takiyuddin  berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan perkara tersebut diluluskan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

Namun, katanya, SPR sebelum ini komited dengan pelaksanaan kedua-dua perkara itu seperti diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menjelang 2023.

Jelasnya, pada masa itu, tempoh mengundi masih jauh dan SPR mungkin menjangkakan mereka ada masa yang cukup untuk melaksanakan perkara itu.

“Kami dulu pembangkang, kami pun sokong undi 18 tahun, tapi dengan syarat pendaftaran mestilah secara automatik sebab kalau tidak jumlah individu layak mengundi tidak mendaftar akan bertambah sebab umur 21 pun empat juta tak mendaftar,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu,  SPR juga merupakan satu badan bebas yang tidak dipengaruhi oleh pihak kerajaan, justeru setiap keputusan yang dibuat tidak menyebelahi mana-mana pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN