fbpx

Bekas pengurus didakwa pengubahan wang haram berjumlah RM209,000

SEREMBAN 3 Mac - WOBG Tze Wei (tengah) didakwa atas 16 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN: Seorang bekas pengurus sebuah syarikat pemaju perumahan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 16 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM209,000, lima tahun lalu.

Wong Tze Wei, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Tze Wei didakwa melupuskan wang hasil daripada suatu aktiviti haram melalui pengeluaran 16 baucar pembayaran milik Great Five Development Sdn. Bhd. dengan jumlah keseluruhan RM209,000.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Jalan Era Square, Seremban antara 2 Februari 2016 hingga 30 Mac 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal manakala tertuduh pula diwakili peguam, S. Prakash.

Terdahulu, Rohaiza menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan berkenaan selain memohon tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Prakash bagaimanapun memohon jaminan anak guamnya dikurangkan kerana tertuduh telah hilang pekerjaan dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000, namun, Prakash kemudian memohon kepada mahkamah untuk memberikan kelonggaran kepada anak guamnya bagi menangguhkan bayaran wang jaminan berkenaan pada pagi 8 Mac ini.

Madihah membenarkan penangguhan itu tetapi dengan akujanji daripada pihak peguambela.

Mahkamah menetapkan kes berkenaan dibicarakan semula pada 8 dan 9 Mac ini. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!